SHAH ALAM - Anggota bomba dan penyelamat dari pasukan Hazmat masih menjalankan kerja-kerja untuk meneutralkan kandungan ammonia dalam udara di sekitar kawasan kilang ais yang terbabit dalam kes kebocoran gas ammonia yang berlaku pagi tadi.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Zon Shah Alam, Yusri Bakri berkata, setakat ini keadaan di dalam kawasan kilang masih tidak selamat namun bacaan ammonia di kawasan sekitar pada paras selamat.

Katanya, setakat ini keadaan terkawal dan punca kebocoran telah kebocoran juga telah berjaya ditutup.

"Pada pagi tadi, bacaan ammonia dalam udara di dalam kawasan kilang antara 350ppm hingga 500ppm.

[ARTIKEL BERKAITAN: Dua pekerja kilang ais maut terhidu gas ammonia]

"Ketika ini, bacaan ammonia masih pada paras sekitar 300ppm di dalam kawasan kilang, beberapa anggota dari pasukan Hazmat sedang menjalankan kerja-kerja untuk meneutralkan paras ammonia.

"Berdasarkan keadaan semasa, kita jangkakan ia akan mengambil masa sekitar dua hingga tiga jam untuk kembali ke paras normal iaitu bawah 50ppm," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sidang media, sebentar tadi.

Turut kelihatan, Adun Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni yang hadir meninjau situasi dan perkembangan semasa.

Terdahulu, awal pagi tadi, sebuah kilang memproses ais dilaporkan terlibat dengan kemalangan kebocoran ammonia pada salah satu injap paip.

Sewaktu kejadian, terdapat 20 pekerja warga asing di dalam kilang terbabit yang sedang bertugas.

Kemalangan berkenaan turut menyebabkan dua daripada mereka meninggal dunia sementara 18 yang lain selamat dan telah dihantar ke hospital.