BANDAR BAHARU - “Nanti balik Haziq selesaikan kucing itu, ibu,” kata mangsa tertimbus tanah, Mohamad Haziq Ishak, 17, kepada ibunya sebelum ditemukan tertimbus tanah dalam kejadian di Taman Seri Serdang, di sini.

Namun janji terakhir itu tidak dapat ditunaikan remaja itu kepada ibunya Zuhainun Salim, 54, apabila ditemukan meninggal dunia selepas terjatuh di penghubung jambatan runtuh di taman berkenaan kira-kira jam 10.15 malam, semalam.

Zuhainun berkata, anaknya yang dipanggil Haziq itu terjumpa seekor kucing cedera dilanggar kenderaan berhampiran kedai keropok lekor mereka kira-kira jam 8.30 malam.

“Haziq jumpa kucing cedera kena langgar dan dia beri minum air serta rawatan sebelum dia cakap nak pi ikut kawan lepas itu baru nak uruskan kucing.

“Kucing itu dia letak atas meja di kedai dan masih hidup malah semua orang tegur dia semalam dia terlalu gembira,” katanya.

Menurutnya, kejadian yang menimpa anak kelima daripada enam beradik itu hanya diketahuinya kira-kira jam 12 malam melalui pesanan WhatsApp rakan kepada adik Haziq.

“Masa itu saya sedang tidur di rumah lepas itu anak bongsu beritahu Haziq jatuh jambatan. Saya pi ke sana dan memang nampak baju sejuk yang dipakai Haziq selepas bomba berjaya keluarkan mereka,” katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Dua remaja maut tertimbus jambatan runtuh]

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Muhamad Haikal Hakimi Mohd Noor, 17, turut berjanji kepada ibunya Norihan Che Doh, 47, untuk pulang ke rumah jam 10,30 malam selepas keluar bersama Haziq.

Norihan berkata, dia terkejut apabila kakak iparnya datang ke rumah memberitahu ternampak motosikal miliknya di dalam Sungai Serdang lalu menghubungi anaknya dipanggil Haikal itu melalui Whatsapp.

Norihan (kanan) sedang menceritakan kejadian anaknya Haikal sebelum menemui ajal.

“Dalam 10.30 malam kakak ipar datang beritahu nampak motosikal saya dalam sungai dan tanya Haikal sudah pulang atau belum. Saya terus Whatsapp tapi tak dibalas jadi saya terus ke sana,” katanya.

Menurutnya, pada hari kejadian Haikal yang jarang membuat kerja-kerja di rumah berubah menolongnya mencuci pinggan dan periuk serta dan membasuh baju sekolah.

“Saya balik kerja dari kantin sekolah terkejut tengok dia sudah kemas periuk nasi dia makan, mangkuk lauk masak merah dan basuh baju sekolah. Kalau tak jenuh juga suruh dia buat,” katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN:' Mujur ada yang tahan tak bagi lalu']