KEMAMAN - Hasrat sepasang suami isteri untuk melawat anak mereka tidak kesampaian apabila maut selepas motosikal dinaiki bertembung dengan sebuah kereta, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 pagi di Kilometer 26 Jalan Mak Lagam-Cheneh berhampiran Ladang Paloh Jenang itu, peneroka Felda, Sohaini @ Mustajib Mohd, 47, dan Siti Minah Ali, 46, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketika kejadian pasangan itu dalam perjalanan dari rumah mereka di Felda Cerul 1, di sini, menuju ke rumah anak kedua mereka di Kampung Paya Berenjut sebelum motosikal Honda Dash ditunggang Sohaini berlanggar dengan Perodua Viva yang dinaiki seorang lelaki bersama anak perempuannya yang berusia empat tahun.

Akibat kemalangan itu, pemandu kereta tersebut yang berusia 44 tahun cedera di kepala namun anaknya tidak mengalami apa-apa kecederaan.

Motosikal dinaiki mangsa suami isteri remuk teruk.

Anak Sohaini, Siti Nurul Baiyah, 24, berkata, tidak sampai sejam sebelum kemalangan berlaku, ibunya menghubunginya dan memberitahu mahu datang ke rumah.

"Ma kata nak datang jalan-jalan ke rumah saya dan ajak ke rumah kakak di Bukit Mentok sebab lama dah kami tak berkumpul ramai-ramai.

"Ma cakap tunggunya kat rumah tapi masa tengah tunggu ma dan abah sampai, tiba-tiba ada orang hubungi saya dan maklumkan mereka kemalangan," katanya yang memanggil ibu bapanya dengan panggilan ma dan abah.

Kata anak kedua daripada tiga beradik itu, kali terakhir dia menemui ibunya semasa ibunya datang ke kedai makan tempatnya bekerja dan memberinya makanan pada Jumaat lalu.

"Ma datang hantar nasi dan ketupat tapi kami tak sempat berbual panjang sebab ma kata dia nak pergi beli bahan buat kuih sebab ma jual kuih," katanya lagi.

Sementara itu, adik tiri Siti Minah, Nor Azura Mustafa, 33, berkata, dia mengetahui pasangan itu ditimpa kemalangan pada jam 12.30 tengah hari namun hanya mengetahui kedua-duanya maut selepas tiba di Hospital Kemaman.

"Sekelip mata kedua-dua sekali pergi. Teringat balik masa kali terakhir saya jumpa kakak iaitu pada Hari Raya Aidiladha lalu. Kami beraya bersama tapi masa itu, kakak nampak biasa saja," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Mohd Haki Hasbullah berkata, punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan lanjut kerana hasil siasatan awal, pertembungan berlaku di tengah-tengah jalan di kawasan berselekoh.

Kata beliau, mangsa cedera dihantar ke Hospital Kemaman untuk rawatan segera.

"Mangsa yang maut juga dihantar ke hospital sama untuk proses bedah siasat. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.