BESUT - Guru pra sekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Beting Lintang, Zabidah Hamzah nyaris maut apabila kereta dipandunya terbakar di Kampung Pengkalan Kubur, dekat Tembila, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi, mangsa yang berusia 54 tahun dalam perjalanan ke sekolahnya yang terletak kira-kira tiga kilometer dari tempat kejadian.

Menurutnya, pada mulanya dia terhidu bau hangit seperti sesuatu terbakar dari dalam kereta sebelum melihat kepulan asap di bahagian hadapan (enjin) kereta.

“Sebelum itu, ada pengguna jalan raya lain dari arah bertentangan telah memberi isyarat lampu tinggi ketika berselisih dengan saya.

“Ketika itu saya belum perasan lagi ada asap dan tidak lama selepas itu baru saya  melihatnya,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui bersama suaminya, Che Mat Hamid, 56, di Kampung Padang Luas, tengah hari tadi.

Zabidah berkata, keadaan menjadi semakin cemas apabila brek keretanya tidak berfungsi ketika dia mahu memberhentikan kereta di bahu jalan.

Menurutnya, bagaimanapun dia yang tidak panik berjaya mengendali dan memberhentikan kereta selepas mengubah kepada transmisi automatik kepada kedudukan P (parking).

“Sebaik saya memberhentikan kenderaan, beberapa orang yang berada berdekatan meminta saya segera keluar daripada kenderaan setelah mereka melihat asap semakin tebal dan api muncul.

“Ketika mahu keluar dari kereta, pintu sebelah saya pula sukar dibuka  namun kerana saya tidak panik saya berusaha menghentak pintu itu dengan bahu saya dan akhirnya berjaya dibuka,” katanya.

Zabidah yang tinggal di Kampung Kubang Ikan berkata, dalam keadaan kelam kabut itu, dia hanya keluar menyelamatkan diri tanpa sempat mengambil beg tangan yang berada di kerusi sebelah.

Kata beliau, di dalam beg tangan tersebut mengandungi sejumlah wang tunai, buku bank dan beberapa dokumen penting lain.

Menurutnya lagi, dia bersyukur kerana terselamat memandangkan kebakaran yang memusnahkan 100 peratus keretanya berlaku kurang seminit selepas dia keluar kereta.

“Saya keluar dari rumah kira-kira jam 7 pagi dan dalam perjalanan itu, saya turunkan anak perempuan saya, Nor Husna Che Mat, 12, yang belajar di SK Tembila sebelum meneruskan perjalanan ke sekolah saya,” katanya.

Dia tidak mengetahui punca kebakaran berlaku terhadap kereta yang dibelinya lima tahun lalu (2013) dan bersyukur kerana terselamat serta  tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, pada 28 Mei tahun lepas dia sekeluarga diduga dengan kematian serentak dua anak lelakinya apabila motosikal yang ditunggang mereka dirempuh sebuah kenderaan pickup terbabas di Kampung Tembila.

“Saya reda kejadian ini sama saya reda dengan kehilangan dua anak lelaki saya, Muhammad Hafizuddin, 21, dan adiknya Muhamad Husainim 17,” katanya.

Sinar Harian pernah menyiarkan berita kemalangan maut yang melibatkan anak Zabidah pada Mei tahun lepas.