KEMAMAN - Selepas 43 jam operasi dijalankan dua daripada tiga tangki penyimpanan minyak mentah milik Kemaman Bitumen Company (KBC) yang terbakar akhirnya berjaya dipadamkan.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Terengganu, Sharikan Bustaman  berkata, kebakaran bagi sebuah tangki lagi pula sudah berjaya dipadamkan sebanyak 70 peratus sehingga jam 2 petang hari ini.

"Tangki pertama berjaya dipadamkan kira-kira jam 6.40 pagi tadi iaitu tangki 502 A yang berkapasiti 4,618 meter padu.

"Ia diikuti tangki 502 B berisipadu 4,800 meter padu yang berjaya dipadamkan kira-kira jam 10 pagi tadi,"katanya.

Katanya, pihaknya ketika ini sedang bertungkus lumus memadamkan baki 30 peratus kebakaran pada tangki 501 B yang mengandungi minyak mentah sebanyak 13,666 meter padu.

Operasi pemadaman yang masuk hari ketiga berkenaan menyaksikan JPBM Terengganu turut mendapat bantuan JPBM Perak selain JPBM Pahang yang membantu sejak hari pertama operasi dengan keseluruhan kekuatan keanggotaan berjumlah 196 orang.

Operasi turut mendapat bantuan sembilan agensi lain dengan kekuatan anggota berjumlah 46 orang iaitu polis, Hospital Kemaman, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), ERT KBC, Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (Dosh) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).