DUNGUN - [DIKEMASKINI] Dua sahabat maut dalam nahas jalan raya di Kilometer 76, Jalan Jerangau-Jabor, Bukit Besi, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.20 petang, mangsa, Muhammad Nor Eyizhar Mohd Shukri, 16, dan Muhammad Amirul Nabil Sidek, 15, maut selepas motosikal ditunggang bertembung dengan sebuah pacuan empat roda.

Sewaktu kejadian, pacuan empat roda dari arah Bukit Besi menghala ke Jerangau dipercayai terbabas sebelum berpusing beberapa kali dan melanggar besi penghadang jalan.

Ketika itu, motosikal yang ditunggang mangsa datang dari arah sama gagal mengelak menyebabkan mangsa merempuh kenderaan tersebut.

Kedua-dua mangsa tercampak beberapa meter di atas jalan dan bahu jalan.

Akibat rempuhan itu, kedua-dua sahabat yang berasal dari Kampung Dendang itu tercampak beberapa meter di atas jalan sebelum terbunuh.

Kedua-dua mangsa maut ditempat kejadian akibat kecederaan parah.

Sewaktu kejadian Muhammad Amirul Nabil yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerangau dikatakan menemani rakannya itu membuat salinan fotostat untuk urusan pertukaran sekolah baharu.

Muhammad Nor Eyizhar yang sebelum ini bersekolah di SMK Integrasi Kuantan sepatutnya mendaftar masuk ke SMK Tengku  Intan Zaharah esok.

Bapa Muhammad Amirul Nabil, Sidek Mat Saad, 50, berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan anaknya terlibat dalam kemalangan jalan raya dan bergegas ke lokasi.

"Sewaktu kejadian saya sedang bekerja membantu orang mengangkat barang di kedai dan ada kawan telefon memaklumkan anak saya kemalangan.

"Saya ingatkan kemalangan biasa tetapi apabila sampai saya lihat anak bongsu saya sudah tidak bernyawa.

 Katanya, dia tidak sangka akan kehilangan salah seorang daripada dua anaknya dan tiada sebarang perubahan pelik ditunjukkan sebelum ini.

"Saya tidak tahu dia pergi ke mana menaiki motosikal bersama kawan kerana saya tiada di rumah ketika itu.

"Rakan bersamanya itu juga dari kampung sama dan saya mengenalinya.

"Memang tiada langsung perubahan pelik atau petanda yang ditunjukkan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Kedua-dua mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tujuan bedah siasat.

Kes disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.