BATU PAHAT- Dua lelaki maut, manakala dua lagi parah apabila kereta yang dinaiki mereka hilang kawalan sebelum merempuh sebatang pokok di Kilometer 135 Jalan Batu Pahat-Muar, di Peserai, di sini, malam tadi.

Pemangku Ketua Polis daerah, Superintendan KS Mender Singh berkata, dalam kejadian jam 9 malam tadi, kereta jenis Toyota Vios yang dipandu Mohd Fazly Reza Mohamed, 30, terbabas dan mengakibarkan mangsa serta penumpang hadapan, Muhamad Izhuan Kahar, 24, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Sementara dua lagi penumpang belakang,  Muhamad Basri Hamadan, 24, dan Nor Hasyim Abu Bakar, 34, dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan sedang dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).

Menurut beliau, keempat-empat mangsa yang merupakan rakan sekerja di sebuah restoran makanan Jepun itu sememangnya bersahabat dan mereka dikatakan dalam perjalanan menuju ke Muar.

"Bagaimanapun, setibanya di lokasi kejadian, kereta dipandu mangsa hilang kawalan lalu merempuh pokok di bahu kiri jalan berkenaan.

"Akibat rempuhan kuat itu, pemandu kereta dan penumpang hadapan maut serta-merta di lokasi kejadian, manakala dua penumpang belakang yang parah dikejarkan ke Hospital Sultanah Nora Ismail Batu Pahat," katanya ketika dihubungi.

Mender berkata, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.