BANDAR BAHARU - [DIKEMASKINI] Dua remaja maut tertimbus akibat jambatan runtuh di Jalan Taman Seri Serdang, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, Muhammad Haikal Hakimi Mohd Noor,17 dan Mohamad Haziq Ishak, 17, dipercayai menaiki satu motosikal bersama dan ingin ke rumah rakan di Taman Seri Serdang.

Bagaimanapun ketika dalam perjalanan, kedua mangsa tidak menyedari jambatan tersebut telah runtuh.

Kedua mangsa telah terjatuh ke dalam Sungai Serdang dan tertimbus tanah sedalam kira-kira 0.3 meter.

Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, Deputi Superintendan Barudin Wariso berkata operasi mencari dan menyelamat telah dijalankan kira-kira dua jam.

Menurutnya, pihak polis dan bomba telah menerima panggilan daripada orang awam mengenai kejadian terbabit kira-kira jam10.07 malam.

"Ketika di lokasi kejadian pasukan keselamatan telah menemui motosikal dan topi keledar dalam timbunan tanah sebelum menemui mayat kedua mangsa.

"Mayat pertama berjaya dibawa keluar pada jam 12.15 pagi dan mayat kedua pada jam 12.20 pagi.

"Mayat dibawa ke Hospital Kulim untuk bedah siasat," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Serdang, Mohd Faiz Helmi berkata, bomba menggunakan tukul dalam operasi mencari dan menyelamat kedua-dua mangsa.

"Mangsa tertimbus lebih kurang 0.3 meter dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Selain itu, Adun Bandar Baharu Datuk NorSabrina Mohd Noor berkata, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) segera mengambil tindakan menutup jalan dengan di kawasan kejadian.

"Kita harap pihak berkenaan ambil tindakan menutup segera jalan dan meletakkan tanda amaran.

"Penduduk terjejas boleh menggunakan alternatif lain seperti Kampung Tebuan Luar dan Kampung Tebuan Dalam," katanya.