MELAKA TENGAH - Dua remaja maut manakala seorang lagi cedera parah dalam kemalangan membabitkan sebuah lori tangki dan tiga motosikal di Jalan Tangga Batu-Bukit Rambai, di sini awal pagi tadi.

Mangsa yang maut, Muhammad Rosyam Mohd Bani, 16, dari Taman Peruna, Sungai Udang dan seorang lagi remaja seusianya, Muhammad Nazri Ramli beralamat di Kampung Bukit Darat, Tanjung Kling.

Seorang lagi mangsa, Amir Amirul Muhammad Fauzi, 18, dari Tangga Batu mengalami cedera parah.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, kemalangan dipercayai berlaku pada jam 3.43 pagi tadi.

Keadaan motosikal yang ditunggangi kedua-dua mangsa.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati, lori tangki yang dipandu lelaki berusia 31 tahun itu dari arah persimpangan lampu isyarat Bukit Rambai menghala ke Tangga Batu didatangi dua penunggang motosikal dari arah sama lalu memotong kenderaan berat tersebut.

"Pemandu lori tiba-tiba terdengar bunyi dentuman dan menyaksikan dua penunggang motosikal terbabit telah jatuh tergolek di hadapannya.

"Pada masa sama datang sebuah lagi motosikal dari arah bertentangan dan tidak dapat mengelak lalu terus merempuh kedua-dua mangsa," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mayat kedua-dua mangsa kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka bagi tujuan bedah siasat dan kesemua kenderaan kini ditahan bagi pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan kimia.

Manakala seorang lagi mangsa mengalami patah paha kanan dan tangan kanan kini dirawat di Hospital Melaka.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.