TELUK INTAN - Dua remaja maut dalam nahas melibatkan dua buah motosikal di Kampung Parit 21, Hutan Melintang, Bagan Datuk, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7.45 malam itu, mangsa masing-masing berusia 17 dan 22 tahun maut dilokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati mangsa yang berusia 22 tahun dari Selekoh, Bagan Datuk menunggang motosikal dari arah Hutan Melintang menghala ke Bagan Datuk, manakala mangsa yang berusia 17 tahun berasal dari Hutan Melintang pula hendak keluar simpang ke kanan menghala ke Hutan Melintang.

“Semasa mangsa berusia 17 tahun sedang membelok ke kanan, motosikalnya dilanggar mangsa berusia 22 tahun yang sedang bergerak lurus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, ketika kejadian jalan dua lorong berkenaan merupakan jalan lurus dan kering ekoran cuaca baik selain lalu lintas tidak sibuk.

Menurut Mohd Marzukhi, mayat mangsa dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.