PASIR MAS - Dua maut manakala lima lagi cedera dalam kemalangan membabitkan lima buah kenderaan di Jalan Tendong-Gelang Mas berhampiran Kampung Binjal, Bunut Susu, di sini, petang tadi.

Lima buah kenderaan itu ialah lori, van, Perodua Alza, Myvi dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Dalam kejadian jam 4.25 petang itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Adenan Pa' Adek, 41, dan Abdollah Dollah, 34, warganegara Thailand.

Adenan, pemandu van manakala Abdollah penumpang, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Difahamkan, kemalangan itu berlaku apabila sebuah lori dari arah Gelang Mas menghala ke Bunut Susu hilang kawalan akibat permukaan jalan licin ekoran hujan lebat.

Van yang dipandu Adenan kemudiannya telah merempuh lori tersebut menyebabkan dua buah kereta dan pacuan empat roda telah melanggar bahagian belakang kenderaan berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Mohd Nazri Ab Wahab ketika dihubungi berkata, seramai tujuh anggota telah bergegas ke lokasi kejadian untuk membantu menyelamatkan mangsa.

"Kita terima panggilan kecemasan jam 4.29 petang. Ketika sampai, kita dapati pemandu dan penumpang telah tersepit," katanya.

Menurutnya, bomba terpaksa menggunakan peralatan hidraulik untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Bagaimanapun kedua-dua mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

Katanya, kes tersebut disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.