KUALA LIPIS - Dipercayai akibat memandu dalam keadaan mengantuk, seorang lelaki bersama ibu mertuanya maut apabila kereta dinaiki bertembung dengan sebuah lori treler di kilometer 22 Jalan Lipis-Benta dekat Hentian Rawat dan Rehat (RNR) Benta di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, mangsa yang juga pemandu kereta Perodua  Myvi, Mohdrien Fikri, 32 dan ibu mertuanya, Rahimah Yahaya, 64, yang juga penumpang belakang maut di tempat kejadian.

Kemalangan tersebut turut menyebabkan isteri Mohdrien, Nur Amaliena Hussin, 25, dan anak pasangan berkenaan, Nur Adzkiya Sofea, 1, cedera parah dan sedang menerima rawatan di Hospital Lipis.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Azry Akmar Ayob berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta dinaiki empat sekeluarga itu sedang dalam perjalanan dari Kelantan menghala ke  Selangor.

Menurutnya, apabila sampai di tempat kejadian disyaki pemandu kereta berkenaan dalam keadaan mengantuk sebelum terbabas lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori treler muatan susu tin yang dipandu oleh Amirrudin Lokman, 24 serta kelindan, Mohamad Azfarizal Ayuhan, 22.

“Pemandu dan penumpang belakang kereta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi penumpang  mengalami kecederaan parah dan sedang menerima rawatan di Hospital Lipis. Pemandu dan kelindan lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Lipis untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga bagi urusan pengebumian,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, kes  disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Tambahnya, siasatan di tempat kejadian mendapati cuaca baik, permukaan jalan kering, jalan berselekoh, satu lorong dua hala, garisan berkembar di tengah sebagai pembahagi jalan.

Katanya, keadaan gelap namun ada lampu jalan.

“Hasil siasatan juga didapati berpunca daripada kecuaian pemandu kereta yang dipercayai memandu dalam keadaan mengantuk menyebabkan berlakunya kemalangan ini,” katanya.