BATU PAHAT - Dua beranak maut setelah terlibat dalam satu kejadian kemalangan yang berlaku di Kilometer 108, Kampung Bukit Batu, Senggarang, jam 6.15 pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, kemalangan berlaku apabila Proton Wira dipandu mangsa, Ithnin Tahir, 61, bersama ibunya, Surip Damiri, 80, dirempuh oleh sebuah kereta Toyota Vios ketika mahu keluar dari simpang Kampung Bukit Batu.

“Akibat rempuhan berkenaan kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal di lokasi kejadian

"Pemandu kereta Toyota Vios yang turut mengalami kecederaan parah telah dikejarkan ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI)," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, kedua-dua mangsa dibawa ke hospital untuk bedah siasat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.