SUBANG JAYA - Tindakan seorang pemandu memberhentikan kereta selepas terlihat asap tebal menyelamatkan dia dan ibunya daripada rentung apabila kereta dinaiki kedua-duanya terbakar di Kilometer 16, Lebuhraya Persekutuan, tengah hari tadi.

Dalam kejadian jam 12.50 tengah hari itu, mangsa, Zaidatul Rozaini Ramli, 31, yang memandu Proton Persona pada awalnya menyangka asap dilihat datang dari kenderaan lain.

Mangsa kemudian meneruskan perjalanan tanpa menyangka insiden itu bakal berlaku apatah lagi kereta tersebut baru diservis, semalam.

Bagaimanapun, mangsa kemudian menyedari asap tebal keluar dari bahagian depan kereta dipandunya sendiri selepas meneruskan perjalanan lebih satu kilometer.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, Timbalan Penguasa Bomba, Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman berkata, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari Subang menghala ke Shah Alam.

Anggota bomba membantu memadamkan kebakaran yang berlaku tengah hari tadi.

Menurutnya, selepas melihat asap berkepul-kepul keluar dari bahagian depan kenderaan, mangsa bertindak memberhentikan kereta dipandunya.

“Mula-mula mangsa ingat asap yang dilihat datang dari kereta lain tapi lama-kelamaan dia baru sedar ia datang dari kereta sendiri.

“Mangsa bersama ibunya bertindak keluar dari kereta sebelum api marak membakar kenderaan tersebut,”katanya.

Beliau berkata, sebuah jentera bersama lapan anggota diketuai, Ketua Operasi, Shamsul Abidin dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Kereta itu terbakar kira-kira 80 peratus. Namun

pemandu seorang wanita dan ibunya berusia 66 tahun terselamat dalam kejadian itu,”katanya.

Difahamkan, kereta yang terbakar milik abang kepada pemandu yang terselamat dalam kejadian itu.