KUANTAN - Kegembiraan dua beradik bersama dua rakan  mereka bertukar tragedi selepas dua beradik lemas ketika mandi-manda muara Sungai Balok, Kuantan, Pahang petang tadi.

Dua beradik yang maut adalah Muhammad Amirul Mukminin Abu Hanafiah, 11, dan Muhammad Hafizul Iman Abu Hanafiah, 10 tahun.

Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang,  Ashrul Riezal Asbar berkata pihaknya menerima laporan daripada orang awam kira-kira jam 7 petang tadi.

Menurutnya, setibanya di lokasi kejadian mayat Muhammad Amirul dijumpai oleh orang awam terlebih dahulu pada jam kira-kira 6.20 petang kira-kira 500 meter dari pantai.

"Hasil pencarian pasukan penyelamat bersama orang awam kemudian berjaya menemukan mayat adik mangsa, Muhammad Hafizul pada jam 8.40 malam pada jarak 100 meter dari lokasi penemuan abangnya.

"Kedua-dua mangsa telah dibawa terlebih dahulu dibawa ke Klinik Kesihatan Balok dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan kita telah menyerahkan mayat kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Klinik Kesihatan Balok di sini, hari ini.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) bagi tujuan bedah siasat.