TAPAH - Seorang lelaki dipercayai warga Myanmar maut akibat dihempap traktor selepas kenderaan dipandunya terjunam dalam kolam ikan sebuah kebun kelapa sawit di Kilometer 2.5 Jalan Chenderiang - Kuala Dipang di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, mangsa yang belum dikenal pasti identitinya ditemui meninggal dunia kira-kira jam 12.15 tengah hari.

"Siasatan awal mendapati kemalangan itu dipercayai berlaku apabila kenderaan yang dipandu mangsa hilang kawalan sebelum terbalik masuk ke dalam kolam.

"Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dipercayai akibat terhentak pada traktor dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tapah untuk bedah siasat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.