DUNGUN - [DIKEMASKINI] "Alhamdullillah... jasad adik akhirnya ditemui," kata kakak kepada Konstabel Wan Mohd Arif Wan Yahya, 28 yang lemas selepas terjatuh ke dalam sungai Paka, Durian Mentangau, Jumaat lalu.

Wan Suraya, 32 berkata, sejak seminggu lalu mereka sekeluarga setia menunggu di tebing sungai itu setiap kali operasi pencarian dijalankan.

Menurutnya, berkat solat hajat besar-besaran di Masjid Jamek Paka malam tadi, akhirnya jasad abangnya ditemui.

"Memang kami tidak putus berdoa dan setiap hari lakulan solat hajat.

"Malam tadi sekali lagi solat hajat secara beramai-ramai dilakukan di Paka memohon usaha mencarinya dipermudahkan.

"Dengan izin ALLAH, hari ini jasadnya timbul dan walaupun operasi ini agak sukar, kami sekeluarga beramai-ramai tetap yakin dia akan ditemui," katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, walaupun sedih, keluarga berasa lega dengan penemuan jasad anggota dari Balai Polis Paka itu.

"Memanglah sedih tapi sekurang-kurangnya jasad arwah ditemui.

"Ketika mayat ditemui ibu yang sakit dalam perjalanan menuju ke sini tetapi berpatah balik apabila dimaklumkan berita penemuan adik.

"Jenazah arwah akan dibawa pulang ke Pasir Mas untuk dikebumikan, "katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Polis penjenayah hilang dalam aru deras]

[ARTIKEL BERKAITAN: Operasi hari ketiga masih gagal temui mangsa]

[ARTIKEL BERKAITAN: Mayat Zam Ayam ditemui tersangkut di ranting kayu]
 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira jam 12.25 tengahari.

"Hari ini sudah masuk hari ke lapan operasi dan akhirnya usaha semua pasukan penyelamat berhasil.

"Jasad mangsa timbul dalam jarak 300 meter dari lokasi kejadian.

"Mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk urusan lanjut sebelum diserahkan kepada keluarga, " katanya.

Dalam kejadian jam 8.30 malam Jumaat lalu, Wan Mohd Arif bersama suspek penjenayah dikenali sebagai Zam Ayam terjatuh ke dalam Sungai sebelum dihanyut arus deras.

Mayat suspek berusia 39 tahun ditemui tersangkut pada ranting pokok di tebing sungai pada hari keempat operasi.