KOTA BHARU - Bumbung salah sebuah bangunan di Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Chepa 2 terbakar dalam kejadian ribut petir, malam tadi.

Kebakaran melibatkan 20 peratus ruangan tangki air jenis fiber pada bahagian bumbung dengan keluasan kira-kira 9.1 meter x 15.24 meter persegi.

Seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun berkata, dia mengetahui kejadian yang berlaku di sekolahnya itu melalui perkongsian maklumat yang tersebar di Whatsapp.

"Masa saya datang ke sekolah tadi saya tengok bahagian yang terbakar melibatkan tandas lelaki yang sudah lama tidak digunakan di tingkat empat bangunan sekolah

“Dengarnya hanya berlaku kebakaran kecil semalam semasa pelajar tidak berada di sekolah dan hari ini sesi persekolahan diteruskan seperti biasa,” katanya.

Kebakaran di SMK Pengkalan Chepa 2 melibatkan bahagian bumbung.

Sementara itu, Penyelia Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Pegawai Bomba Kanan II Mahusin Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 7.59 malam.

“Setibanya di lokasi pada jam 8.06 malam didapati 20 peratus daripada ruangan bumbung dan tangki air jenis fiber di bahagian bumbung bangunan empat tingkat berkenaan sedang marak terbakar.

“Kami bertindak memotong jeriji di tingkat bawah untuk naik ke tingkat atas bangunan. Operasi pemadaman diteruskan sehingga api sepenuhnya padam pada 8.49 malam," katanya.

Menurutnya, seramai 14 anggota termasuk enam Pasukan Bomba Sukarela Pengkalan Chepa terbabit dalam operasi memadam kebakaran tersebut.

“Jumlah kerugian serta punca kebakaran masih dalam siasatan dan kebakaran tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa,” katanya.