ARAU - Seorang budak lelaki mati lemas selepas beliau terjun ke dalam sungai semasa cuba untuk mendapatkan basikalnya yang terjatuh ke dalam sungai itu di Kampung Bunga, Simpang Empat di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kangar Superintendan Wari Kiew berkata mayat Muhammad Qayyum Zamri, 12, ditemui pasukan penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat Arau kira-kira pukul 12 tengah hari.

Beliau berkata kejadian berlaku semasa Muhammad Qayyum bersama dua rakannya sedang memancing di sungai itu, apabila kanak-kanak itu hendak mengubah kedudukannya.

“Muhammad Qayyum ketika itu dikatakan meletakkan pancing di tepi basikalnya namun basikal itu tiba-tiba terjatuh ke dalam sungai. Dia terus terjun untuk mendapatkan basikal dan jorannya tetapi terus tenggelam,” kata Wari kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya seorang daripada rakan Muhammad Qayyum berlari ke kampung berdekatan untuk meminta bantuan.

Mayat Muhammad Qayyum dihantar ke Unit Forensik Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar untuk bedah siasat. - Bernama