ALOR GAJAH - Kisah seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang tular kerana melecur belakang badan akibat dapur kaca di rumahnya pecah  telah menarik perhatian netizen.

Ada yang marah dan ada juga yang bersimpati dengan nasib menimpa mangsa iaitu Wong Yang Kiat.

Tak kurang juga yang ikut berkongsi pengalaman sama ketika memasak menggunakan dapur jenis itu.

Ibu mangsa, Chong Rou Shi,31, berkata, dia memuat naik gambar anaknya itu bertujuan untuk memberi peringatan kepada pengguna yang lain

Bagaimanapun, katanya, dia tidak menyangka status yang dimuat naik semalam telah dikongsi ramai pengguna Facebook sehingga tular.

Gambar yang dimuat turun Roh Shi akibat insiden dapur memasak kaca yang pecah menjadi tular sejak semalam.

Rou Shi berkata, dapur memasak jenis kaca berjenama tempatan itu dibelikan oleh adik iparnya dengan harga RM380 di sebuah kedai barangan elektrik di Johor Bahru.

Katanya, dia baru sahaja menggunakannya tiga bulan sebelum dapur yang masih dalam tempoh jaminan setahun secara tiba-tiba pecah.

Menurutnya, pada 16 Ogos lalu, lebih kurang jam 4.45 petang dia menjerang air herba menggunakan dapur tersebut dan kebetulan anak pula kedua itu mengekorinya ke dapur.

"Saya sendiri tergamam dan terkejut melihat periuk herba panas terbalik selepas dapur kaca pecah lalu terkena belakang badan anak.

"Sedih sangat melihat anak meraung kesakitan dan saya terus menjirus air paip di belakangnya sebelum membawa ke Hospital Pantai," katanya kepada Sinar Harian.

Susulan itu, Roh Shi berkata, anaknya terpaksa ditahan di wad selama sepuluh hari dan keluarganya terpaksa menanggung kos perubatan lebih RM10,000 selain rugi dapur dibeli pecah.

"Kami tak tahu di mana kami nak dapatkan pembelaan sebab ini bukan kecuaian kami.

"Anak saya pula menderita kerana melecur 30 peratus termasuk di bahagian punggung dan peha," katanya.