PENGERANG - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa bot pancung karam di perairan Tanjung Balau diteruskan pada hari kelima hari ini bagi mengesan baki pendatang asing tanpa izin (Pati) yang masih hilang.

Timbalan Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Kepten Sanifah Yusof berkata, dipercayai sembilan lagi mangsa masih hilang dalam kejadian itu.

Menurutnya, berdasarkan penemuan terbaharu menjadikan jumlah keseluruhan mangsa dijumpai 35 orang di mana 25 mangsa masih hidup dan 10 lagi mangsa iaitu enam lelaki dan empat perempuan dijumpai mati.

Katanya, mangsa yang maut termasuklah dua mayat yang ditemui pada pagi dan petang semalam oleh bot nelayan di perairan Pulau Tinggi, Mersing.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Satu lagi mayat bot pancung karam ditemui ]

[ ARTIKEL BERKAITAN: Lima lagi mayat bot pancung karam dijumpai ]

[ ARTIKEL BERKAITAN: Isteri berkeras ajak masuk Malaysia lalu jalan haram ]

[ ARTIKEL BERKAITAN: Satu lagi mayat bot pancung karam dijumpai ]

[ ARTIKEL BERKAITAN: Bot pancung karam: Seorang maut, 25 lagi selamat ]

"SAR hari ini membabitkan lapan aset laut dengan kekuatan 150 orang yang melibatkan anggota Maritm Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Pasukan Polis Marin (PPM), Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM), Tentera Darat DiRaja Malaysia(TDM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Selain di laut, SAR turut dilakukan di pesisir pantai berdekatan lokasi kejadian.

"Keluasan pencarian melibatkan 900 batu nautika iaitu dari perairan Pulau Besar hingga perairan Tanjung Penyusup,"katanya dalam satu kenyataan media, sebentar tadi.

Terdahulu, media melaporkan seorang wanita maut manakala 25 selamat selepas bot pancung dipercayai membawa masuk Pati dari Batam karam kira-kira jam 12 malam di perairan Tanjung Punggai, Isnin lalu.

Maklumat kejadian itu diterima pihak Maritim kira-kira jam 4.45 pagi dari petugas pelantar minyak berhampiran yang menemui dua orang mangsa cuba mendapatkan bantuan.

Dipercayai seramai 44 orang Pati berusia 20-an hingga 40-an menaiki bot pancung berkenaan yang dikatakan bergerak dari Batam kira-kira jam 10 malam sebelum karam kira-kira 5.2 batu dari perairan Tanjung Punggai akibat lebihan muatan dan cuaca buruk.