BATU GAJAH - "Saya dapat rasakan dentuman sangat kuat dan selepas itu, keadaan dalam bas penuh debu," kata Wan Mohd Amer Erfan Wan Mohd Amin, 19, seorang daripada mangsa nahas bas ekpres yang mengorbankan dua orang termasuk pemandu, pagi tadi.

Kejadian sekitar jam 5 pagi di KM12.5 Jalan Ipoh-Lumut berhampiran Batu Gajah Perdana itu mengakibatkan pemandu bas, Mohamad Azizul Che Aziz, 31, dan seorang penumpang wanita,  Munzirah Jalaludin, 20, maut di tempat kejadian.

Kemalangan berlaku apabila bas dua tingkat membawa 38 penumpang kebanyakannya penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar  dalam perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan ke Lumut itu, melanggar batu pembahagi jalan.

Wan Mohd Amer berkata, ketika kejadian, kebanyakan penumpang tidur.

Dia yang mengalami cedera di kaki kanan akibat tersepit di celah kerusi berjaya dikeluarkan anggota bomba melalui pintu kecemasan bahagian atas bas.

"Suasana dalam bas agak panik, ada yang menagis dan tak kurang juga menjerit kesakitan.

"Kami semua berjaya dikeluarkan dengan bantuan orang ramai dan anggota bomba," katanya.

Penuntut semester ketiga Diploma Bangunan itu berkata, dua lagi rakannya  turut cedera dalam kejadian itu.

Kesemua penuntut universiti berkenaan baru sahaja menghabiskan cuti semester selama sebulan.

Bas berkenaan dimaklumkan bertukar pemandu ketika berhenti di hentian rehat Gerik.

Seorang lagi mangsa, Mohammad Syamim Zikri Mat Zaki, 18, berkata, mengakui terkejut apabila sedar daripada tidur melihat bongkah batu besar berada di tepi kerusinya.

Katanya, ketulan batu itu turut menutup laluan keluar kenderaan berkenaan.

"Kami terpaksa turunkan kerusi satu-satu untuk keluar, mujurlah ada juga orang awam yang datang membantu," katanya.

Penuntut tahun pertama Diploma Ukur Bangunan mengalami patah tangan kanan akibat terkena serpihan batu.

Dia yang duduk di barisan ketiga bahagian bawah bas sempat melihat keadaan pemandu yang terkulai kaku.

"Keadaannya agak teruk, tertiarap ke depan bas, saya nampak dia ada bergerak-gerak sikit sebelum kaku," katanya.

Dia yang berasal dari Besut, Terengganu mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Superintendan Tan Boon Hooi berkata, kejadian turut menyebabkan tiga yang lain parah sementara 12 lagi cedera ringan dengan kesan calar di anggota badan.

Menurutnya, daripada maklumat saksi, bas berkenaan dipercayai dipandu laju sebelum terbabas dan melanggar batu pembahagi jalan.

"Mangsa maut akibat parah di kepala terkena ketulan batu yang terpelanting masuk ke dalam bas.

"Dua daripada mangsa yang parah telah dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh," katanya.

Kejadian menyebabkan lencongan dibuka bagi memberi laluan kerja pembersihan bongkah batu dilakukan yang mengambil masa hampir lima jam.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu, penumpang maut nahas bas]