KUALA LUMPUR - "Saya tak sanggup lagi nak tengok video tu. Tak sampai hati. Ketika dapat tahu tentang kemalangan pun, saya fikir ia tidak seteruk keadaan yang saya lihat di hospital," Kata bapa kepada Allahyarham Wan Amirah Wan Alias, 31, mangsa langgar 'pemandu gila' di Cyberjaya malam semalam.

Pesara, Wan Alias Wan Ismail, 66, berkata, dia masih terkejut dengan kejadian itu namun reda dengan kehilangan anak ketiganya itu.

Menurutnya, dia hanya mengetahui tentang video rakaman CCTV itu pagi tadi.

"Saya tahu tentang video itu tapi saya tak boleh tengok.

"Sebenarnya memang terkejut bila sampai ke tahap itu tapi kena reda dan tak boleh nak salahkan sesiapa.

"Saya serah kepada pihak polis untuk jalankan siasatan dan apa yang sesuai untuk diambil tindakan," katanya ditemui di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, di sini, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Wanita maut angkara pemandu gila]

[ARTIKEL BERKAITAN: Maut lepas singgah beli roti]

Jenazah Wan Amirah selamat dikebumikan jam 5.30 petang tadi  diiringi kira-kira 100 ahli keluarga dan kenalan yang hadir bagi memberi penghormatan terakhir.

Dalam pada itu, menurut Wan Alias, Wan Amirah seorang anak yang pendiam dan tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum ini.

"Dia komited dengan kerja. Sering pulang lewat kerana bekerja,"katanya.

Katanya lagi, arwah merupakan seorang penyelam skuba dan pernah menemaninya ke Maldives tahun lepas.

"Arwah juga gemar melancong. Dia sepatutnya ke Finland pada Januari depan. Semua persiapan termasuk tiket dan keperluan di sana telah dibuat,"katanya.

Dalam kejadian jam 7.45 malam semalam, Nur Amirah yang merupakan penolong pengurus acara jualan maut selepas dilanggar sebuah kereta yang dipercayai dipandu lelaki warga asing di kawasan Shaftsbury Square, Cyberjaya.

Video rakaman CCTV kejadian itu memaparkan bagaimana kereta yang dipandu 'gila' itu melanggar beberapa kenderaan sebelum melanggar dan mengheret mangsa.

Video berkenaan  menjadi tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi netizen yang mengecam pemandu berkenaan.