REMBAU – Bangunan asrama lelaki Maahad Al Baidha’ Lil Takwim Al Ulama yang menumpang sementara premis Sekolah Tinggi Islam As Sofa (STIAS) yang terbakar dalam kejadian 20 Mei lalu sekali lagi terbakar lewat petang tadi.

Dalam kejadian berkenaan sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada jam 6.41 petang.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Penolong Penguasa Bomba Mohd Fuad Majid, pasukannya tiba di lokasi pada jam 6.55 petang.

"Sebaik tiba di lokasi api sedang marak. Kebakaran membabitkan baki bangunan yang terbakar sebelum ini yang mana lokasi berkenaan dijadikan stor buat masa ini.

"Kita mengambil masa selama 15 minit bagi memadamkan kebakaran. Dianggarkan sebanyak 70 peratus bangunan berkenaan musnah terbakar.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian bagaimanapun masih lagi dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian di sini, tadi.

Untuk rekod, dalam kejadian 20 Mei lalu, kebakaran di lokasi yang sama berkenaan membabitkan sebuah bangunan asrama lelaki berkeluasan 150 kaki X 30 kaki yang dianggarkan musnah sebanyak 90 peratus.

Pasukan bomba menerima maklumat berlaku kebakaran kira-kira jam 1.58 pagi dan tiba di lokasi pada jam 2.14 pagi.

Sebaik tiba didapati api telah membakar keseluruhan blok asrama dan bomba berjaya mengawal kebakaran kira-kira jam 2.30 pagi.