SUNGAI BULOH - Seorang askar maut dalam kemalangan dengan kereta dalam satu kejadian yang berlaku di KM 25.2, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, dalam kejadian sekitar jam 7.45 pagi itu, mangsa menaiki motosikal jenis Honda C100B.

"Mangsa dipercayai merempuh sebuah kereta  yang berhenti di lorong kecemasan berikutan masalah tayar pancit. Ketika itu, mangsa sedang menunggang sendirian dalam keadaan cuaca hujan," katanya.

Zulkefly berkata, mangsa disahkan maut di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Sungai Buloh bagi menjalani proses bedah siasat.