TAPAH - Seorang anggota polis meninggal dunia selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan di Jalan Lama Sungkai, semalam.

Lans Koperal Mohd Akmal Hakim Abd Razak, 27, yang bertugas di Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim menghembus nafas terakhirnya di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), pada jam 6.30 pagi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kejadian pada jam 6.23 pagi itu membabitkan motosikal jenis Yamaha LC yang ditunggang mangsa dan Toyota Vios yang dipandu wanita berusia 55 tahun.

"Siasatan awal mendapati mendapati mangsa dalam perjalanan untuk bertugas telah bertembung dengan kereta yang datang dari arah bertentangan.

"Kemalangan itu menyebabkan mangsa cedera parah dan dihantar ke Hospital Slim River untuk menerima rawatan sebelum dirujuk ke HRPB," katanya.

Menurutnya, mangsa yang mengalami pendarahan di perut dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

"Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Trolak Selatan, Sungkai.