IPOH - Sebuah premis makanan segera di Taman Ipoh terpaksa dikosongkan selama hampir tiga jam selepas terdapat ancaman bom yang ditemukan dalam tandas di tingkat dua bangunan itu, hari ini.

Kejadian sekitar jam 8.30 malam itu disedari seorang pelanggan yang menemui objek hitam berbentuk empat segi disyaki bahan letupan diletakkan di pam tandas wanita beserta nota ugutan di dinding.

Nota di dinding yang ditulis menggunakan pen penanda berwarna merah itu menyebut bahawa 'tempat ini akan meletup'.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby ketika ditemui di lokasi kejadian berkata, terdapat hampir 20 pelanggan dan kakitangan berada di premis  itu.

Katanya, arahan agar mengosongkan bangunan dikeluarkan bagi tujuan keselamatan sementara pemeriksaan dijalankan unit pemusnah bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

"Selepas hampir satu jam setengah siasatan dilakukan, kita dapati objek yang dilihat adalah balutan pita pelekat berwarna hitam dan terdapat gulungan wayar tiga jenis pelbagai warna bersama satu penutup botol...itu sahaja.

"Jadi yang dinyatakan akan meletup itu, sebenarnya tidak berlaku dan anggota unit pemusnah bom yang menjalankan pemeriksaan mengesahkan bahawa bangunan ini selamat dihuni," katanya.

Beliau berkata, setakat ini, belum dapat dipastikan motif sebenar kejadian dan premis itu juga tidak menerima sebarang ancaman mahupun ugutan sebelum ini.

Katanya, rakaman litar tertutup (CCTV) di premis itu juga tidak merakam bahagian atas premis.

"Jadi kita tidak dapat mengesan orang yang naik di tingkas atas, namun siasatan akan diteruskan dibawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan atas kesalahan ugutan jenayah," katanya.

Dalam pada itu, seorang pekerja premis dikenali Elan, 22, berkata, seorang pelanggan wanita memaklumkan kejadian itu kepada juruwang sebelum beredar dari premis.

"Kemudian saya diminta untuk periksa dalam tandas itu, memang ada satu bungkusan bersama tulisan ugutan bom, saya terus hubungi polis maklumkan kejadian ini," katanya.

Katanya, pelanggan yang berada di premis itu memberi kerjasama yang baik sebaik diminta beredar dari bangunan.