BUKIT MERTAJAM -  Seorang lelaki maut selepas jaket dipakainya tersangkut pada rantai dan gegancu (sprocket) motosikal dinaiki sebelum terbabas dalam kemalangan di Kilometer (km) 14.8 Lebuhraya Butterworth-Kulim, dekat Bukit Mertajam, semalam.

Dalam kejadian 2.55 petang itu, mangsa Teh Chin Tatt, 35, yang membonceng bersama bapanya, Teh Bah KeChee, 69, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Difahamkan ketika kejadian kedua-dua mereka dalam perjalanan pulang ke rumah yang terletak di Jalan Kampung Gajah, Bagan Jermal.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, siasatan mendapati motosikal mereka terbabas disebabkan jaket yang dipakai mangsa tersangkut pada sprocket di bahagian rantai motosikal.

“Akibat daripada kejadian itu, motosikal mereka hilang kawalan dan menyebabkan mangsa tercampak ke atas jalan raya," katanya ketika dihubungi.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat. Bapanya yang cedera ringan dirawat di hospital sama.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.