KAJANG - Adun Balakong, Ng Tien Chee meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 11.7 Lebuhraya Grand Saga, di sini, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Dzaffir Mohd Yussof berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira 12.40 tengah malam tadi.

Menurutnya, dalam kejadian itu, kereta jenis Nissan Xtrail dipandu mangsa dipercayai telah merempuh belakang sebuah lori.

"Kemalangan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan maut di lokasi kejadian.

"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat," katanya.

Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam perkongsian twitter turut menzahirkan ucapan takziah.

“Takziah buat ahli keluarga YB Eddie Ng Tien Chee, Ahli Dewan Negeri Balakong yang baru sahaja meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

"Satu kehilangan besar buat kita semua," katanya.