TANJUNG MALIM - Empat penumpang sebuah bas persiaran cedera selepas kenderaan itu merempuh belakang sebuah lori di KM367.6 Lebuhraya Utara Selatan, awal pagi tadi.

Kejadian jam 1.10 pagi itu berlaku ketika bas membawa 22 penumpang dipandu seorang lelaki berusia 47 tahun itu dalam perjalanan menghala ke Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Mualim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusuf berkata, mereka yang cedera merupakan warga emas berusia lingkungan 66 hingga 79 tahun.

"Tiada kecederaan serius dilaporkan dan pemandu bas juga tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, rempuhan dari arah belakang itu berlaku di lorong kiri ketika lori bergerak perlahan.

Katanya, pemandu lori tidak berhenti di lokasi dan usaha mengesan kenderaan itu kini dijalankan.

"Kerosakan hanya melibatkan bahagian depan bas iaitu cermin hadapan pecah, lampu serta cermin sisi rosak," katanya.