• Dari kiri: Pengerusi DMS Dynamic Datuk Mohd Sani Mohd Nor, Syed Hamid, Pengerusi Chery Tan Sri Nik Ismail Nik Mohamed dan Pengarah Chery Datuk Zakaria Mohd Shariff bersama model Transcom yang bakal digunakan bagi program bas 1Malaysia, di Petaling Jaya, semalam. Dari kiri: Pengerusi DMS Dynamic Datuk Mohd Sani Mohd Nor, Syed Hamid, Pengerusi Chery Tan Sri Nik Ismail Nik Mohamed dan Pengarah Chery Datuk Zakaria Mohd Shariff bersama model Transcom yang bakal digunakan bagi program bas 1Malaysia, di Petaling Jaya, semalam.
1 /

CHERY Automobile (Malaysia) Sdn Bhd menyasarkan untuk menjual 300 unit bas setahun menerusi perjanjian persefahaman dengan DMS Dynamic Sdn Bhd sebagai wakil untuk program bas sekolah 1Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Chery, Paul Ng berkata, kerjasama itu adalah yang pertama sejak jenama itu memasuki pasaran negara ini.

"Kami berharap akan terus menjalinkan kerjasama seumpama ini pada masa akan datang.

"Model Transcom bagi program bas sekolah ini dijual dengan harga RM93,000," katanya, selepas menandatangani perjanjian persefahaman di Petaling Jaya, semalam.

Menurutnya, model itu telah mendapat sijil pengiktirafan dan kelulusan reka bentuk yang selamat daripada Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, suruhanjaya itu memberi tempoh sehingga akhir tahun depan bagi bas sekolah yang berusia 30 tahun untuk menyertai program penggantian bas.

Menurutnya, bas yang gagal berbuat demikian akan dikenakan tindakan undang-undang atau lesen ditarik balik.
Sementara itu, sejak pelancaran program itu pada April lalu, Bank Simpanan Nasional (BSN) telah memperkenalkan skim pinjaman mudah sewa beli bas sekolah 1Malaysia.

"BSN telah menerima 130 permohonan daripada purata 2,000 bas sekolah yang telah berkhidmat lebih 30 tahun," kata Syed Hamid.

Mengulas berhubung masalah kekurangan bas, beliau berkata, masalah itu sememangnya berlaku di seluruh negara kerana kurangnya penglibatan tenaga kerja dalam sektor tersebut.

Kerajaan meluluskan skim bantuan bagi meringankan beban pengendali bas sekolah dengan memberi rebat RM10,000 dan faedah dua peratus untuk mengganti bas berusia lebih 30 tahun melalui Bajet 2013.