• Wrapstarzz kini dalam proses untuk mendapatkan sijil halal yang dijangka siap dalam tempoh setahun lagi. Wrapstarzz kini dalam proses untuk mendapatkan sijil halal yang dijangka siap dalam tempoh setahun lagi.
1 /

SAKUSA Sdn Bhd menerusi jenama Wrapstarzz merancang membuka kedai dengan konsep kafetaria di sekitar Lembah Klang dan Selangor pada masa akan datang.

Pengarah Operasi Makanan dan Minuman Wrapstarzz, Nizran Kudus berkata, syarikatnya juga menerima permintaan untuk membuka cawangan di Johor Bahru dan Pulau Pinang.

"Buat masa ini, Wrapstarzz hanya ada kiosk di Wangsa Walk bagi tempoh percubaan untuk melihat sambutan pelanggan.
"Sejak beroperasi Januari 2011 sehingga kini, kami terima sambutan baik daripada pelanggan," katanya yang sebelum ini merupakan tukang masak dan juga perunding minuman dan makanan.

Menurutnya, konsep makanan itu pada mulanya agak sukar diterima kerana Wrapstarzz adalah makanan baru di pasaran.

Konsep Wrapstarzz adalah kasual segera, sama seperti makanan segera namun makanan disediakan segar dan akan dibuat apabila tempahan diterima dalam tempoh lima hingga 10 minit.

Nizran berkata, konsep itu sudah lama popular di Amerika Syarikat dan negara Eropah.

Mengulas berhubung perancangan jangka panjang, Nizran berkata, jika sambutan menggalakkan, syarikatnya mahu membawa produk itu ke pasaran eksport pada masa akan datang.

"Namun pada masa ini, tumpuan adalah bagi mengukuhkan kedudukan di pasaran tempatan dahulu dengan membuka kafe.

"Kami turut menerima permintaan tinggi daripada pelanggan untuk membuka cawangan di stesen LRT dan dalam perancangan untuk ke arah itu," katanya yang melabur RM150,000 untuk membangunkan produk itu sebelum dipasarkan.

Nizran berkata, Wrapstarzz kini dalam proses untuk mendapatkan sijil halal yang dijangka siap dalam tempoh setahun lagi.

Wrapstarzz adalah makanan sihat roti dan sandwic dengan 15 jenis pilihan termasuk ayam pedas, keju dan sayur-sayuran.