Pengunjung : 6122 Ahad 14-3-2010 Daftar | Lupa ID/Password ID : Password:
Pengerusi Rapera terajui MBNT

MARANG - Pengerusi Persatuan Rangkaian Pemuda Pemudi Rawai (Rapera) Marang, Mat Yusof Mat Ali diisytiharkan sebagai Pengerusi Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT) yang baru, bagi sesi 2010-2013 selepas menang tanpa bertanding pada Mesyuarat Agung Majlis Belia Negeri Terengganu 2010.

Kemenangan itu sekali gus menafikan beberapa spekulasi sebelum ini yang mendakwa akan berlaku saingan sengit dua penjuru bagi merebut jawatan berkenaan.

Ini bermakna, Mat Yusof menggantikan Mohamed Yusop Majid yang tidak bertanding kerana had umur pada pemilihan yang diadakan di Permai Inn, Kuala Terengganu.

Majlis perasmian disempurnakan Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee.

Mat Yusof berkata, pihaknya melihat barisan pemimpin kali ini menunjukkan kelainan apabila pemimpin dipilih bukan mereka yang berlatar belakang pemimpin politik sepenuh masa, sebaliknya golongan yang terbukti berjaya memartabatkan kejayaan warga belia.

”Selaku pengerusi baru MBNT, saya harap kepimpinan baru yang dilantik ini dapat merapatkan kembali saf kepimpinan dan menyusun strategi serta membuat perubahan dengan mendekati generasi muda.

”Pada masa sama, saya harap pimpinan yang ada dapat melaksanakan tanggungjawab dengan amanah,” katanya kepada Sinar Harian.

Kejayaan yang dicapai beliau sebelum ini adalah memimpin Rapera sehingga berjaya meraih johan Anugerah Perdana Pertubuhan Belia peringkat Kebangsaan pada 1998, 2005 dan 2008.

Persatuan Rapera di bawah pimpinannya sebelum ini juga berjaya dinobatkan sebagai persatuan belia paling aktif di negeri ini dengan merangkul kejayaan sebagai johan Anugerah Belia Negara (Kategori Persatuan) peringkat negeri sebanyak tujuh kali.

Selain itu, kepimpinan Mat Yusof terserlah apabila menerima Anugerah Belia Negara (Kategori Kesukarelaan) peringkat Terengganu pada 2007 dan memenangi Anugerah Belia Negara (Kategori Kepimpinan) pada 2009, selain diberi kepercayaan sebagai Penolong Setiausaha Agung MAYC Kebangsaan.

Mat Yusof berkata, dia berusaha memastikan MBNT sentiasa bersama kepimpinan Kerajaan Negeri dan negara bagi melaksanakan peranan serta tanggungjawabnya dan bersatu-padu membangunkan Malaysia seiring moto ’Setia Belia Bersama 1Malaysia’.