Pengunjung : 13637 Isnin 15-3-2010 Daftar | Lupa ID/Password ID : Password:
16 peniaga bantah tanda kecewa

HULU TERENGGANU – Seramai 16 peniaga di Taman Che Ngah, Ajil, di sini, kecewa apabila cara pembinaan Projek Ajil Interchange, Lebuh Raya Timur-Barat yang dilaksanakan di kawasan berkenaan dikatakan mengganggu kelancaran dan kerancakan proses urus niaga di situ.

Tambah merisaukan pemilik dan penyewa 16 lot kedai terbabit kerana ada dalam kalangan mereka berkemungkinan berhadapan risiko gulung tikar sekiranya pelaksanaan projek diteruskan, sedangkan mereka masih mempunyai pinjaman dengan pihak bank.

Sehubungan itu, wakil pemilik dan penyewa terbabit, Ariffin@Mohd Nasir Ismail, 54, merayu agar pihak berkaitan dapat memberi perhatian atas keluhan disuarakan itu, sekali gus mengambil langkah proaktif mengatasinya.

“Peringkat permulaan iaitu sekitar 2007, kami tidak risau kerana kerja mengukur tanah dilaksanakan di sebelah jalan iaitu sebelah kanan laluan Kuala Terengganu-Kuala Berang dan difahamkan projek ini hanya membabitkan kawasan berkenaan sahaja.

“Namun, pemilik dan penyewa bagaikan tersentap apabila projek pembinaan longkang telah melibatkan kawasan sempadan Taman Che Ngah iaitu di tengah-tengah jalan hadapan kedai dan perkara ini juga akan mengakibatkan keadaan struktur di sini tidak praktikal kerana kawasan tidak sama rata,” katanya.