Pengunjung : 25807 Rabu 10-3-2010 Daftar | Lupa ID/Password ID : Password:
Nik Aziz sering tidak konsisten: Wanita UMNO

KUALA TERENGGANU – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak pernah konsisten menyatakan pendiriannya terhadap sesuatu perkara sehingga menimbulkan kekeliruan kepada rakyat.

Bendahari Pergerakan Wanita UMNO Terengganu, Toh Puan Zaitun Mat Amin berkata, sejak dahulu hingga kini, kenyataan Menteri Besar Kelantan itu sentiasa berubah-ubah.

Menurutnya, perubahan itu menyebabkan ada keluarga berpecah-belah, sementara rakan bergaduh sesama sendiri berikutan kenyataan dikeluarkan pemimpin Pas berkenaan yang menuduh UMNO dengan pelbagai kritikan.

“Pas sentiasa berdolak-dalih, apabila kedudukan mereka tergugat khususnya kemelut rakan pakatan seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, barulah rundingan bersama UMNO dilihat,” katanya, semalam.

Nik Abdul Aziz sebelum ini melahirkan hasrat melihat UMNO dan Pas duduk semeja bagi membincangkan isu berkaitan Islam dan beliau akan bersama, amat gembira jika soal perbincangan isu bermusim itu menjadi kenyataan.

Nik Abdul Aziz berkata, pemimpin UMNO perlu memikirkan mengenai kepentingan kedua-dua parti itu membincangkan isu yang menyentuh agama kerana tiada faedah jika kedua-dua parti berkenaan terus bermusuhan.

Mengulas lanjut, Zaitun berkata, UMNO tidak pernah menghalang Pas berbincang dengan parti itu kerana ia memberi kebaikan kepada rakyat dan negara.

Bagaimanapun Ketua Wanita UMNO Bahagian Marang itu berkata, sebelum meneruskan hasrat berkenaan, Pas terlebih dahulu perlu menetapkan pendirian mereka supaya ia tidak berubah satu hari nanti.

“Rakyat pasti akan keliru, oleh itu bagi merealisasikan perkara ini, kita minta Pas tetap pendirian dan buang segala elemen negatif, selain tidak menggunakan agama semata-mata untuk kepentingan sendiri,” katanya.