Pengunjung : 26108 Isnin 15-3-2010 Daftar | Lupa ID/Password ID : Password:
Boikot restoran kenakan harga mahal

KUALA TERENGGANU – Pengguna di negeri ini boleh menggunakan kuasa beli di tangan mereka untuk memboikot atau tidak membeli makanan di kedai makan ataupun restoran yang mengenakan harga terlalu mahal.

Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Terengganu, Mohd Hilmi Mohd Noor berkata, pengguna boleh mengambil pendekatan berkenaan bagi mengajar peniaga supaya tidak mengambil kesempatan terhadap pengguna.

“Harga makanan mahal di negeri ini yang lebih mahal dari Lembah Klang bukan isu baru, malah kami sering membincangkannya namun tiada penyelesaian dapat dicapai.

“Saya juga pernah turun padang bertanyakan isu ini kepada peniaga dan mereka mengakui, terpaksa meletakkan harga agak tinggi kerana bekalan bahan mentah seperti ikan, ayam serta daging juga diperoleh dengan harga agak mahal,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Hilmi berkata, kebanyakan bekalan bahan mentah yang diperoleh peniaga di negeri ini datangnya dari negeri lain menyebabkan harganya juga lebih mahal.