Pengunjung : 6390 Rabu 17-3-2010 Daftar | Lupa ID/Password ID : Password:
YIT kekal keaslian sistem sekolah pondok

KUALA TERENGGANU – Yayasan Islam Terengganu (YIT) di bawah kerjasama Kerajaan Negeri menghidupkan semula sistem pembelajaran sekolah pondok di negeri ini bagi memberi peluang kepada pelajar mempelajari ilmu agama meneruskan minat dalam bidang berkenaan.

Pengarahnya, Mohd Zulkifli Abu Bakar berkata, Kerajaan Negeri telah meluluskan pembukaan Pondok Darul Iman di Kampung Pelandan, Kuala Berang, bagi memberi peluang kepada pelajar berumur 13 tahun ke atas mendalami ilmu agama.

“YIT akan mengekalkan keaslian sistem pembelajaran pondok seperti zaman dahulu kerana di Terengganu, hanya pondok inilah yang pertama ditubuhkan dengan mendapat pengiktirafan Kerajaan Negeri.

“Walaupun banyak sekolah pondok persendirian ditubuhkan, namun dari segi kemudahan tempat tinggal dan pembelajaran tidak seperti yang disediakan di sini,” katanya.

Menurutnya, Pondok Darul Iman menerima 120 pelajar bagi sesi pengambilan tahun ini dan pihaknya terpaksa menapis pelajar lain yang berminat disebabkan kekurangan tenaga pengajar dan kelas.

“Pembelajaran di sini selama lima tahun dan pelajar yang tidak berminat untuk belajar dalam bidang akademik boleh memilih pembelajaran agama sebagai pilihan alternatif.

“Pihak YIT dan Kerajaan Negeri mengambil keputusan menubuhkan sekolah aliran pondok kerana di negeri ini belum ada tempat yang khusus untuk ibu bapa menghantar anak belajar ilmu agama,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Mohd Zulkifli berkata, Kerajaan Negeri juga telah meluluskan peruntukan RM7.4 juta bagi membina bangunan Institut Pengajian Islam (INSPI) di Kampung Binjai, Kemaman.

“Sebelum ini, INSPI dikenali sebagai Pusat Pengajian Agama dan dibuka kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi mengikuti kursus berkaitan agama.

“Alhamdulillah tahun ini, kami berjaya memperkenalkan Program Diploma Tahfiz Wa Dakwah dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi pelajar lepasan SPM,” katanya.

Menurutnya, kursus itu diperkenalkan bagi mendidik individu terutama golongan muda menjadi tahfiz yang boleh berdakwah dan memiliki penampilan diri terpuji.