• Radiofrekuensi
1 /

Salam Dr Nizar,

Saya seorang doktor pakar perubatan keluarga di sebuah hospital kerajaan. Setiap hari saya merawat lebih 100 pesakit yang mempunyai pelbagai masalah kesihatan. Biasanya kerja saya adalah mengenal pasti punca penyakit (diagnosis) seterusnya merujuk mereka kepada unit-unit yang berkenaan bila tiba masanya.

Secara kasar boleh saya katakan lebih 50 peratus pesakit yang datang berkait dengan aduan rasa sakit. Kebanyakannya sudah kronik dan rentan dengan rawatan dan pengambilan berbagai-bagai jenis ubat tahan sakit. Walaupun rawatan fisioterapi berkala dilakukan, masih ramai pesakit yang hidup dalam kesakitan dan hilang upaya.

Kebanyakan pesakit akan mencuba bermacam-macam kaedah sama ada perubatan moden mahu pun alternatif semata-mata untuk mendapat kelegaan. Saya sering menghadapi masalah dalam merawat kesakitan mereka kerana saya mempunyai pengetahuan terhad dalam kes-kes sakit kronik yang rentan dengan rawatan standard ini.

Ramai juga antara mereka yang tahu tentang rawatan suntikan radiofrekuensi yang Dr Nizar lakukan hasil pembacaan mereka dalam akhbar dan internet. Saya menghadapi masalah untuk menjelaskan kepada mereka tentang rawatan ini kerana ia di luar bidang saya. Justeru mohon Dr Nizar jelaskan beberapa perkara iaitu;

1- Apa itu kaedah suntikan radiofrekuensi?
2- Apakah jenis kesakitan kronik yang boleh dirawat dengan kaedah ini?
3- Adakah pesakit akan rasa sakit semasa dan selepas suntikan dilakukan ?
4- Adakah rawatan suntikan radiofrekunsi selamat?
5- Apakah kelebihan rawatan radiofrekuensi?


Jawapan Dr Nizar:
Dalam artikel saya yang tersiar di Sinar Harian sebelum ini, saya banyak menyebut tentang rawatan suntikan radiofrekuensi bagi merawat pelbagai penyakit tulang belakang dan tengkuk yang kronik. Ramai pesakit teruja dengan kaedah ini.
Sebenarnya tidak kira apa saja punca kesakitan sama ada dari sendi , saraf, cakera mahu pun otot; semua punca kesakitan boleh disembuhkan dengan teknik suntikan ajaib ini. Ramai pesakit yang menelefon saya untuk mendapat penjelasan. Maka artikel hari ini bakal menjawab beberapa persoalan berkaitan teknik radiofrekuensi.


1) Apa itu kaedah suntikan radiofrekuensi?

Ia merupakan satu kaedah suntikan dalam merawat berbagai-bagai jenis kesakitan kronik. Jarum disuntik pada tempat yang sakit atau saraf yang berfungsi membawa isyarat sakit. Ia tidak ubah seperti akupunktur tapi lebih sofistikated.

Suntikan biasanya dilakukan dengan kawalan X-ray supaya tepat dan selamat. Kemudian jarum ini disambung pada wayar elektrik yang dijanakan oleh mesin radiofrekuensi. Mesin ini berfungsi untuk menyalurkan haba pada hujung jarum tersebut.

Kaedah ini akan menjana haba antara 60 hingga 80 Celsius pada hujung jarum dalam masa satu minit yang bertujuan untuk ‘melemahkan’ dan seterusnya mengganggu fungsi saraf tersebut.

Saiz lesion yang berlaku pada tisu hanya sebesar saiz hujung putik kapas. Menerusi cara ini rasa sakit dapat dikawal kerana perjalanan signal sakit pada saraf tersebut dapat direncatkan. Bagaimanapun tidak semua kaedah radiofrekuensi menggunakan kaedah haba panas.

Dalam kes tertentu haba yang digunakan cuma 42 Celsius. Kaedah ini dinamakan Pulse Radiofrekuensi. Jadi tidak akan berlaku kerosakan fizikal pada saraf dirawat. Saraf akan berfungsi seperti biasa, hanya rasa sakit yang disekat.


2) Apakah jenis kesakitan kronik yang boleh dirawat dengan kaedah ini?

  • Sakit sendi faset (tengkuk, pinggang dan thorasik).
  • Sakit belakang dari cakera tergelincir (slipped disc).
  • Sakit belakang spinal stenosis.
  • Sakit berpunca dari saraf seperti Trigeminal Neuralgia, sakit akar saraf.
  • Pening kronik seperti pening kluster, pening occipital (belakang tengkuk).
  • Kesakitan muka kronik, contohnya atypical facial pain.
  • Sakit sendi pinggul.
  • Sakit tulang ekor / koksik.
  • Sakit saraf selepas jangkitan kayap (post herpetic neuralgia).
  • Sakit sendi lutut (OA knee).
  • Sakit otot kronik (myofascial pain syndrome).
  • Kesakitan yang berpunca daripada kanser organ seperti pankreas, hati, perut, organ peranakan.
  • Penyakit gangguan saraf autonomik seperti complex regional pain syndrome(CRPS), sakit selepas pembedahan tulang belakang, penyakit saraf kencing manis.
  • Masalah aliran darah tersumbat di kaki atau tangan seperti dialami pesakit kencing manis dan penyakit vascular lain. Rawatan radiofrekuensi dapat meningkatkan aliran darah lalu kaki akan panas semula. Hasilnya amputasi / potong kaki dapat dielakkan.
     

3) Adakah saya akan rasa sakit semasa dan selepas suntikan dilakukan?

Ubat bius setempat akan diberikan pada kulit dan saraf yang akan dilakukan rawatan ini. Jika pesakit masih rasa sakit, tambahan ubat bius setempat boleh dilakukan.

Doktor juga akan bertanya dari masa ke semasa prosedur dijalankan untuk memastikan pesakit selesa. Selepas suntikan anda akan rasa sedikit pedih pada tempat suntikan kerana kesan haba tersebut.

Tapi ia akan beransur hilang dalam satu hingga dua minggu. Ubat penahan sakit seperti celebrex akan dibekalkan pada tempoh tersebut dan biasanya berkesan.

Apa yang lebih mustahak ialah anda akan mula merasai kelegaan daripada kesakitan asal yang telah lama mengganggu. Masa paling baik untuk merasa perbezaan ialah dua hingga empat minggu selepas rawatan.

Keberkesanan rawatan boleh mencapai 80 peratus jika dilakukan oleh doktor mahir.


4) Apakah rawatan suntikan radiofrekunsi selamat?

Rawatan ini hanya menggunakan kaedah suntikan dan haba bersaiz kecil. Semasa prosedur dilakukan pakar kesakitan kronik akan melakukan beberapa check list berperingkat untuk memastikan keselamatan sebelum haba disalurkan melalui jarum.

Dalam erti kata lain hanya doktor terlatih saja yang dapat melakukannya dengan cara selamat. Antara check list tersebut ialah:

  • Menggunakan kaedah sinar X atau ultrasound semasa suntikan dilakukan sebagai panduan arah jarum.
  • Mencari dan memastikan kesakitan yang sama sebelum ini dapat dikenal pasti.
  • Memastikan jarum tidak tersentuh pada saraf yang salah (saraf motor).
  • Memastikan pesakit tidak merasa sakit semasa haba disalurkan.
     

5) Apakah kelebihan rawatan radiofrekuensi?

Rawatan radiofrekuensi berkemampuan melegakan semua jenis kesakitan kronik tidak kira puncanya. Pada asasnya jika kesakitan itu boleh direncatkan dengan suntikan ubat bius setempat, maka kaedah rawatan ini dapat dilakukan.

Malah rawatan ini telah melegakan banyak penderita kesakitan kronik yang sebelumnya tidak dapat dikawal dengan berbagai-bagai cara perubatan moden, fisioterapi atau rawatan alternatif.

Lebih hebat lagi rawatan ini sekarang telah menawarkan pilihan kepada rawatan yang memerlukan pembedahan seperti cakera tergelincir (slipped disc) dan spinal stenosis.