sakit belakang
Pesakit akan berasa sakit belakang ketika posisi berdiri atau duduk.

Assalamualaikum Dr Nizar,

Saya Abdul Aziz , berumur 50 tahun seorang pegawai bank di Lembah Kelang telah mengalami sakit belakang hampir tiga tahun. Ini menyebabkan kerja-kerja di pejabat dan aktiviti harian saya terjejas teruk. Saya tidak boleh duduk lebih daripada 20 minit dan tidak boleh berdiri lama walaupun tanpa pergerakan. Sakit belakang kadang–kadang turun ke kaki (ngilu dan lenguh). Di waktu pagi, apabila bangun daripada tidur merupakan saat yang paling menyeksa kerana saya akan bangun perlahan kerana rasa sakit dan tegang pada pinggang. Ketika bersolat saya tidak dapat rukuk dengan sempurna. Keadaan saya tidak ubah seperti orang tua yang uzur.
Saya telah diperiksa oleh doktor orthopedik dan Magnetic Resonance Image (MRI) sudah dilakukan. Kesimpulannya tidak ada penyakit slipped disc. Cuma ada penyakit lumbar spondylosis dan disc L3L4 dan L4L5 pada pinggang saya jadi gelap yang dinamakan dessicated disc.

Saya diberi ubat penahan sakit celebrex dan ubat saraf tapi tidak memberi kesan yang ketara. Fisioterapi juga nampaknya tidak membuahkan hasil yang positif setakat ini. Doktor orthopedik mengatakan jika selepas enam bulan sakit masih tidak reda pembedahan tulang belakang fusion merupakan jalan penyelesaiannya.

Soalan saya;

1. Apa sebenarnya jenis penyakit tulang belakang saya ini kalau bukan slipped disc?

2. Apakah pilihan lain selain daripada pembedahan, adakah kaedah suntikan radiofrequency boleh membantu?

Jawapan Dr Nizar

Daripada penjelasan anda, jelas sekali sakit belakang anda bersifat mekanikal, iaitu sakit terasa lebih ketara ketika posisi duduk dan berdiri serta lega apabila berbaring. Ini disebabkan semasa berdiri tegak berat badan dan kesan graviti memberi tekanan pada tulang belakang menyebabkan rasa sakit akan lebih ketara jika dibandingkan pada posisi berbaring.

Jika MRI menunjukkan imej disc yang gelap dan istilah spondylosis digunakan, ini bermakna besar kemungkinan anda mengalami penyakit Discogenic Pain iaitu sejenis penyakit tulang belakang yang berpunca dari dalam disc itu sendiri yang sudah mengalami proses penuaan. Sakit dari disk masih boleh berlaku walaupun tanpa cakera tergelincir (slipped disc). Istilah spondylosis bermakna proses penuaan telah berlaku pada tulang belakang anda dan ini menyokong kenapa anda mengalami penyakit ini.

Apa yang berlaku ialah disk anda telah mengalami kerosakan disebabkan oleh proses wear and tear dan proses penyembuhan semula jadi telah menyebabkan tumbuhnya saraf-saraf baru yang abnormal dalam disk tersebut lantas memberi rasa sakit. Di samping itu terdapat juga kebocoran cecair disc ke dalam saraf tunjang anda dan biasanya toksik boleh mencetuskan proses keradangan (inflammation) pada saraf tunjang dan akar saraf. Semua proses ini akan memberikan rasa sakit pada belakang anda yang selalunya terasa di tengah –tengah pinggang dan bersifat mekanikal. Sakit discogenic ini juga kadang-kadang boleh turun hingga ke kaki lantas menyerupai sakit slipped disc.

Biasanya ubat penahan sakit jarang berkesan kerana sifat penyakit ini yang mekanikal. Begitu juga dengan fisioterapi. Walau bagaimana pun pembedahan fusion yang meletakkan besi plate dan screw pada tulang belakang anda bukanlah jalan penyelesaian terakhir. Komplikasi daripada pembedahan ini agak tinggi dan jika berlaku akan bersifat kekal tidak boleh lagi undo. Rawatan pilihan ialah rawatan Intradiscal Radiofrequency Disc Denervation (Diskit II) bersama Radiofrequency saraf Rami communicant. Tidak apa jika anda tak faham istilah perubatan ini, secara umumnya rawatan RF ini akan “membius” saraf-saraf yang memberikan rasa sakit dalam disk tersebut. Arus elektrik radiofrequency digunakan untuk membius saraf sakit tersebut untuk jangka masa yang panjang. Rawatan ini dilakukan dalam bilik bedah dengan kawalan mesin X-ray jadi ianya selamat dan tiada kesan sampingan.

Apa yang lebih penting, ia hanyalah suntikan yang boleh dilakukan satu hari dan kesan kelegaannya boleh dirasakan dalam satu minggu hingga satu bulan. Tapi dengan sedikit modifikasi terkini, teknik ini boleh memberi kelegaan dalam masa satu hari selepas suntikan.

Kejayaan rawatan ialah 60 hingga 70 peratus tapi memang berbaloi untuk mencuba jika dibandingkan dengan pembedahan.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.