• Wandir melihat buah anggur yang ditanam di sekeliling rumahnya di Kampung Banggol Jenereh,
Tanah Merah. Wandir melihat buah anggur yang ditanam di sekeliling rumahnya di Kampung Banggol Jenereh, Tanah Merah.
1 /

TANAH MERAH - Tanaman anggur sering dikaitkan dengan Perlis sebagai negeri pertama mengusahakan ladang anggur di negara ini kini hidup subur dan mengeluarkan buah berkualiti di Kampung Banggol Jenereh, dekat sini.

Pengusahanya, Wandir Ali, 46, berkata, bermula dengan menanam sepohon anggur sebagai percubaan empat tahun lalu, kini terdapat 30 pokok anggur yang ditanam dan membiak dengan baik di sekeliling rumahnya.

Lebih membanggakan, katanya, kualiti buah anggur dihasilkan tiga kali setahun dari ‘kebun’nya itu dikatakan setanding dengan anggur yang dijual di kedai, malah lebih beraroma kerana dipetik segar dari pokok.

“Buah boleh dipetik antara tiga hingga empat bulan semusim atau tiga kali setahun dan kebun anggur saya dapat menghasilkan kira-kira 12 kilogram anggur setiap kali tuaian,” katanya, semalam.

Wandir berkata, anak pohon anggur sama ada untuk ditanam atau dijual menggunakan kaedah pembiakan tut (markot) bagi menghasilkan pokok yang berkualiti.

“Semua 30 pokok anggur di kebun saya dibiak menggunakan kaedah tut bermula daripada pohon pertama yang saya beli ketika melawat Ladang Anggur Perdana di Perlis, empat tahun lalu.

“Saya juga hasilkan anak pohon anggur guna kaedah tut untuk dijual atas permintaan saudara mara dan rakan yang ingin cuba tanam anggur di rumah mereka,” katanya.

Menurut Wandir, pokok anggur dibiak untuk dijual atau ditanam di kebunnya itu daripada jenis White Malaga bagi anggur hijau dan Cardina bagi anggur merah.

“Anggur Cardina berbentuk bulat dan putiknya berwarna hijau sehingga sebulan sebelum masak, baru bertukar warna merah, manakala bentuk anggur White Malaga lebih bujur,” katanya.

Berkongsi pengalamannya, Wandir berkata, dua jenis anggur itu sesuai ditanam di kawasan tanah berpasir atau dalam pasu dengan nisbah 80 peratus pasir dan selebihnya tanah.

“Selain tempat penggantungan, tanaman anggur perlukan ‘rumah’ sebagai teduhan kerana pohon yang terdedah hujan akan menghasilkan buah kurang berkualiti dan putiknya juga mudah gugur,” katanya.

Tambahnya, selain pengalaman, dia banyak belajar cara menanam dan menjaga tanaman anggur serta menambah pengetahuannya mengenai tanaman itu melalui Internet.

Dalam pada itu, Wandir berkata, cabaran lain dihadapi sepanjang menceburkan diri dalam penanaman anggur adalah penerimaan orang ramai yang masih kurang percaya.

“Bila bercakap tentang tanam anggur di rumah, masih ada orang di sekeliling pandang sinis kerana tidak percaya, malah seolah-olah anggur yang saya sebut itu kod rahsia untuk barang salah,” katanya.