TAN Sri Zaleha Ismail antara nama pemimpin wanita tersohor di tanah air. Jasanya dalam bidang politik dan pentadbiran negara selama ini menjadi inspirasi golongan wanita untuk menabur bakti kepada anak bangsa.

Beliau menjawat Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat pada 1995 hingga 1999. Sikapnya yang mudah mesra dan peramah menyebabkan ramai menyenanginya.

Berkongsi cerita di sebalik dirinya, anak kelahiran Kuala Langat, Selangor itu berkata, tidak menyangka terlibat dalam arena politik. Wanita berkaliber ini memulakan kerjayanya sebagai DJ sambilan di Radio Malaya sejak berusia 15 tahun.

"Saya sekolah di Sekolah Perempuan Methodist 1951. Habis sesi sekolah, saya terus ke Radio Malaya dan bertugas sebagai DJ sambilan," katanya ditemui di kediamannya di Gombak, Selangor.

Beliau turut diberi peluang menjadi pelakon drama radio bersama mentornya di bidang politik, Allahyarhamah Tan Sri Dr Aishah Ghani (15 Disember 1923 – 19 April 2013). Ketika itu, suami Aishah adalah majikannya.

"Itulah perkenalan awal saya dengan Tan Sri Aishah. Kalau berlakon, saya selalu dapat watak sebagai anak dan Tan Sri sebagai ibu saya.

"Tak lama lepas tu Tan Sri tawarkan saya untuk jadi setiausaha politiknya. Masa jadi DJ sambilan, saya dibayar RM5 sejam dan dapatlah lebih kurang RM120 sebulan,” kata anak bekas Penghulu Sungai Penchala, Kuala Lumpur.

Sikap tegas

Ketokohan Zaleha sebagai pemimpin wanita diakui sehingga menerima pelbagai anugerah. Ketika negara belum mencapai kemerdekaan, beliau berjuang menyusun kehidupan ke arah yang diingini.

“Saya seorang yang tegas dan akan berusaha capai apa yang saya mahukan. Dalam hidup saya berpegang pada prinsip hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih,” katanya.

Ternyata, pada usia 77 tahun, semangat kepimpinan Zaleha masih utuh dan membara seiring dengan perjalanan kariernya sebagai bekas ahli politik dan pimpinan badan bukan kerajaan (NGO). Pada masa sama, penerima

Tokoh Ibu Harmoni 2013  ini amat menitikberatkan hubungan kekeluargaan meskipun tuntutan kerjaya sebagai ahli politik terkadang menjadi kekangan.

“Setiap Rabu saya hadir mesyuarat kabinet. Jadi, pada Selasa malam saya akan panggil semua anak balik ke rumah untuk makan bersama,” katanya.

Dalam mendidik anak, Zaleha menonjolkan sikap berbentuk pengajaran dan menerangkan sebab musabab sesuatu perbuatan.

“Kalau anak memanjat, saya akan tegur dan kata, kalau jatuh macam mana? Sakit tak?... Itu soalan saya. Kiranya kaedah psikologi. Saya tahu mereka akan berfikir dan seterusnya tak kan ulangi kesalahan sama,” kata Zaleha.

Beliau pernah bercita-cita menjadi doktor, namun dek kekangan kewangan menyebabkan dia memilih untuk mengambil jurusan sastera di sekolah dan seterusnya menuntut di Universiti Malaya, sebelum menyambung pengajian
sama di peringkat ijazah selama dua tahun di Singapura.

Menariknya mengenai cita-cita Zaleha, ia tak pernah terpadam sehinggalah beliau melahirkan anak sulung, Datuk Dr Zurin Adnan, 51, (kini doktor di Hospital Pakar Damansara).

“Saya nak sangat anak saya jadi doktor sebagai penyambung cita-cita saya yang tak tercapai. Nak tahu apa saya buat? Untuk pupuk minat anak sejak kecil, saya bawa dia jalan keliling rumah dan tunjukkan pokok, ulat, cicak dan katak.

"Makin lama saya tengok minat anak saya ke arah Sains. Alhamdulillah, dia kini jadi doktor seperti yang saya nak,” katanya gembira.

Amal 1,000 gerakan sehari

Nenek kepada 11 cucu ini kelihatan masih sihat dan cergas. Beliau mengamalkan senaman ringan 1,000 gerakan sehari dalam usaha menstabilkan kandungan gula dalam darahnya.

“Saya ada sakit kencing manis. Tapi Alhamdulillah selepas saya amalkan senaman 1,000 gerakan sehari penyakit saya beransur sembuh,” beritahunya.

Bagi Zaleha, senaman  membantu  kestabilan rohani, jasmani, minda mahupun emosi. Beliau menjalankan senaman sendiri pada setiap pagi dan sebelum tidur sehingga berpeluh. Doktor selalu berpesan kepadanya, "After lunch you walk a while, after dinner you walk a mile”.

Ditanya mengenai makanan kegemarannya, Zaleha pantas menjawab asam pedas sebagai menu pilihan. Beliau yang turut mengacarakan rancangan masakan di slot RTM bertajuk Dunia Wanita pada 1964 hingga 1974 berkata, secara langsung minat memasaknya mula terserlah selepas mengacarakan rancangan itu.

“Saya ingat pesan anak, 'setiap kali mak bersiaran dan ada menu baru, mak kena balik dan masakkan untuk kami'. Jadi setiap hari saya belajar memasak menu baru.”

Dan ada satu yang menjadi pantang kepada Zaleha sehingga kini dan selama-lamanya adalah, “Saya tak tahu dan tak mahu berenang!” katanya mengakhiri perbualan.