• Syiah nafi kafan hitam Abdullah menunjukkan kain kapan digunakan ahli Syiah tertera doa.
1 /

PENDANG – Pengikut fahaman Syiah di Kedah kecewa dengan tanggapan orang ramai bahawa mereka kafan jenazah menggunakan kain hitam dan kebumikan jenazah dalam keadaan berdiri.

Ketua Syiah Kedah, Abdullah Hassan berkata, Syiah di negara ini menguruskan jenazah pengikut mereka dengan baik, sama dengan cara dilakukan pengikut fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Banyak jenazah telah diuruskan, sama ada daripada keluarga (berfahaman) Syiah atau mana-mana pihak yang mewasiatkan untuk mayat diuruskan mengikut (amalan) Syiah.

“Jenazah dikapankan dengan kain putih. Bezanya (dengan amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah) ialah kain itu tertulis dengan doa-doa dan dibeli dari Iran," katanya.

Abdullah juga menafikan dakwaan bahawa Syiah pernah merampas jenazah untuk diuruskan pengebumian mengikut fahaman Syiah di Kuala Kedah.

Jelasnya, beliau mengambil jenazah seorang ahli Syiah dari Kuala Kedah untuk diuruskan mengikut fahaman Syiah kerana si mati telah mewasiatkan secara bertulis kepada beliau dan kepada keluarga si mati secara lisan supaya berbuat demikian ketika sedang sakit di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar.

Beliau juga sifatkan dakwaan ada kubur seorang wanita berfahaman Syiah di Kuala Rimau, Pendang, ghaib sebagai direka untuk disensasikan pihak tertentu.