KOTA DAMANSARA – Undi Pakatan Rakyat (PR) di kerusi Dun Kota Damansara tetap akan pecah dua walaupun Pas Pusat mengumumkan parti itu memberi laluan kepada penyandangnya daripada PKR, Dr Mohd Nasir Hashim untuk bertanding.

Calon Bebas bagi kerusi Dun Kota Damansara, A Suppiah berkata, Pas dikatakan tetap akan bertanding dan ia menunjukkan dua parti itu mementingkan kerusi berbanding merebut kawasan untuk berkhidmat kepada rakyat.

Menurutnya, penyokong tegar Pas tetap akan memilih Ridzuan Ismail dan itu tidak akan membantu kemenangan Mohd Nasir.

“Nampak jelas, mereka bertanding sekadar hendak kerusi kawasan ini. Kalau betul hendak bantu rakyat mesti seorang daripada mereka beralah dan sokong yang bertanding.

“Tetapi itu tidak berlaku. Jadi, nampak sangat mereka tidak sehaluan. Tambahan pula, tujuh kawasan jadi begini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Suppiah juga tidak menolak kemungkinan, perselisihan ini berterusan sekiranya PR memenangi Pilihan Raya Umum Ke13 (PRU13) dan menjadi kerajaan.

"Di peringkat Dun pun tidak boleh diselesaikan dengan berhemah dan langsung tidak memikirkan rakyat, apatah lagi di peringkat Parlimen seterusnya proses memilih perdana menteri.

"Sudah tentu sukar bagi mereka membentuk kerajaan memandangkan keputusan dalam pemilihan calon PRU13 pun mereka tidak sehaluan," katanya.

Menurutnya, jika Pas, PKR dan DAP menang dan duduk di Parlimen, akan jadi kucar-kacir sebab tiga parti ini sudah tentu ingin mempertahankan ideologi masing-masing menyebabkan rakyat menjadi mangsa.

“Ini akan memburukkan negara, ekonomi dan kemungkinan besar, rakyat akan merana.

"Jadi, untuk mengelakkan perkara itu, rakyat fikir betul-betul, dengan jelas dan buat satu pilihan tepat,” katanya.

Beliau juga mengingatkan rakyat agar membuat keputusan bijak dan memberikan peluang kepada calon yang menghargai setiap undi untuk mereka.

“Tindakan Pas dan PKR seolah-olah mereka menganggap undi rakyat itu murah sehingga sanggup menentang rakan parti.

“Bagi saya, setiap undi rakyat sangat berharga dan jangan bazirkan undi. Jadi jangan pilih calon dengan emosi. Berikan undi ini kepada calon yang betul-betul boleh jaga kawasan dan bekerja untuk rakyat,” katanya.