TEMASYA Sukan Malaysia (Sukma) Pahang yang menutup tirainya semalam berakhir dengan Majlis Perasmian Penutup penuh gemilang di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Terengganu juara berturutturut sejak 2008 sekali lagi dinobat juara keseluruhan bagi edisi ke-15 apabila membolot 62 pingat emas, 24 perak dan 31 gangsa, meninggalkan jauh pesaing daripada 14 negeri termasuk negara jemputan, Brunei Darussalam.

Selangor walaupun tewas di tangga kedua masih tetap unggul dengan koleksi pingat terbanyak mengumpul 47 pingat emas, 54 perak, dan 60 gangsa menjadikan jumlah terbanyak dengan 161 pingat.

Sementara tuan rumah, turut memberi saingan hebat berada di tempat ketiga, menambah satu lagi pingat emas di hari terakhir temasya menjadikan keseluruhan 45 pingat emas, 40 perak dan 38 gangsa.

Menanti di kejohanan sama, dua tahun akan datang, Perlis Indera Kayangan yang bersiap sedia untuk membuka tirainya menyambut lebih 5,000 atlet dan pegawai kontinjen ke utara tanah air.

Perlis yang akan menjadi tuan rumah Sukma 2014 telah menerima peruntukan sebanyak RM161 juta, kini giat meningkatkan prasarana sukan sejajar dengan hasratnya untuk menjadi penganjur yang terbaik.

Namun, apa yang diharapkan, segala kelemahan yang berlaku sepanjang temasya di Pahang dijadikan panduan agar perjalanan di Perlis nanti lebih lancar.

Apa pun tahniah kepada Terengganu, juara 2012. Selamat tinggal Pahang, jumpa lagi di Perlis 2014.