ALEXANDER Zverev memberi harapan baharu kepada sukan tenis apabila menjuarai kejohanan Akhir Jelajah Dunia ATP 2018 selepas menewaskan pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic.

Dalam aksi yang berlangsung di London itu, Zverev seolah-olah diberi 'kemenangan percuma' oleh Djokovic dengan keputusan 6-4, 6-3, sekali gus menjadi kejuaraan terbesar pernah diraih pemain berusia 21 tahun itu.

"Saya tidak tahu bagaimana untuk menggambarkannya, ia sukar dipercayai. Ini gelaran terbesar sepanjang karier saya.

"Tapi saya perlu ucapkan terima kasih kepada Novak (Djokovic). Saya tahu dia boleh memenangi mana-mana perlawanan yang dia mahu, tetapi kali ini dia 'serahkan' kemenangan kepada saya.

"Semua tahu betapa hebatnya Novak di dalam gelanggang, tetapi saya perlu katakan dia juga hebat di luar. Kami banyak menghabiskan masa bersama dan berkongsi banyak perkara, bukan sahaja tentang tenis tetapi juga soal kehidupan. Saya sangat hargai hakikat dia sudi berkongsi kemenangan dengan saya," kata Zverev.

Zverev turut merakamkan penghargaan buat semua pihak yang sentiasa berada di belakangnya.

"Tidak akan dilupa jasa ayah (Alexander Zverev Sr) yang telah menjadi jurulatih terbaik kepada saya dan abang (Mischa). Saya selalu katakan dia akan menjadi jurulatih terbaik dalan sukan ini dan itu telah terbukti hari ini.

"Saya tahu dia (ayah) tidak akan berhenti menangis sehingga tahun depan, tak apalah, dia layak untuk itu. Terima kasih juga kepada pasukan, rakan-rakan, peminat dan semua yang ada di sini," katanya lagi.

Kemenangan bersejarah itu meletakkan nama Zverev sebagai pemain termuda memenangi gelaran itu yang sebelum ini dipegang Djokovic pada 2008, selain turut menjadi pemain pertama Jerman bergelar juara selepas Boris Becker mara ke final pada 1995 di Frankfurt.