$entry.content.caption.value
PETALING JAYA - Juara badminton remaja dunia Zulfadli Zulkifli dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Atlet Remaja Terbaik Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100Plus-Kementerian Belia dan Sukan (KBS) 2011.
Presiden SAM, Ahmad Khawari Isa berkata, pemilihan pemain berusia 18 tahun itu adalah berdasarkan kejayaannya mengungguli acara perseorangan pada Kejohanan Remaja Dunia di Taiwan serta Kejohanan Remaja Asia di India, tahun lalu.
"Ini bertepatan dengan objektif anugerah SAM-100Plus-KBS untuk mengiktiraf bukan sahaja wartawan sukan tetapi juga atlet yang telah menharumkan nama
negara," katanya pada sidang media mengenai Majlis Anugerah SAM-100Plus-KBS 2011 di sini hari ini.
Beliau berkata, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek akan menyampaikan piala dan insentif wang tunai RM3,000 kepada Zulfadli pada majlis penganugerahan itu di Hotel Hilton, Petaling Jaya, Ahad ini.
Selain itu, Ahmad Khawari berkata seramai 11 atlet telah disenarai pendek sebagai calon untuk Anugerah "Atlet Terbaik 2011" termasuk jaguh badminton
negara Datuk Lee Chong Wei dan ratu skuasy negara Datuk Nicol Ann David.
Turut disenaraikan ialah penerjun wanita Pandelela Riong, Fatehah Mustafa dan Jupha Somnet (berbasikal), Nur Suryani Taibi (menembak), Jacqueline Jenelee
dan Adrian Ang (boling), Aaliyah Yoong (ski air), Kevan Cheah (wushu) dan pasukan memanah kebangsaan recurve lelaki.
Katanya, majlis itu juga akan mengiktiraf atlet individu atau pasukan yang mencipta kejayaan di luar dugaan menerusi Anugerah "Outdo Yourself" di samping
dua anugerah baru iaitu "Best Comeback Athlete" dan "Most Dynamic Association".
Bagi anugerah kewartawanan pula, Ahmad Khawari berkata pihaknya menerima hampir 200 penyertaan meliputi enam kategori yang dipertandingkan.
Kategori tersebut ialah Laporan Berita Terbaik Media Cetak, Ulasan Terbaik Media Cetak, Laporan Berita Terbaik Elektronik, Ulasan Trbaik Elektronik,
Laporan Khas (media cetak dan media elektronik) dan Fotografi Terbaik. - Bernama






