TIADA kelibat pelumba negara, Mohd Zaqhwan Zaidi di dalam saingan SuperSports 600cc Kejuaraan Motosikal Asia FIM di Bend Motorsport Park, Australia apabila pelumba itu memutuskan untuk memberi tumpuan dalam saingan Kejuaraan Seluruh Japan di Litar Suzuka yang berlangsung serentak pada 20 hingga 22 April ini.

Pelumba Musashi Boon Siew Honda Racing yang juga juara keseluruhan 2014 dan 2016 itu  akan beraksi dalam kategori JSB1000 di mana dia menamatkan Perlumbaan 1 di kedudukan ke-19 dan Perlumbaan 2 di tempat ke-14 pada aksi pertamanya bersama jentera 1000cc di Litar Twin Ring Motegi, 7 hingga 8 April lepas.

“Pengurusan pasukan membuat keputusan supaya saya beraksi di Jepun, jadi saya mengikut sahaja apa yang telah ditetapkan oleh pasukan.

“Keutamaan kami memang kepada aksi jentera 1000cc sebagai persediaan untuk musim depan namun tidak bermaksud kami mengetepikan cabaran ARRC. Walaupun hilang 50 mata di Australia minggu ini, ada baki lagi empat pusingan dan lapan perlumbaan lagi untuk musim ini.

“Apa yang saya harapkan ialah dua rakan sepasukan, Tomoyoshi Koyama dan Azroy Hakeem Anuar dapat meraih keputusan terbaik bagi mengekalkan persaingan untuk merampas kembali gelaran keseluruhan berpasukan yang terlepas pada musim lepas selepas memenanginya sejak 2012 lagi," katanya yang kini berada di kedudukan ke-10 SuperSports 600cc ARRC dengan 14 mata.

Menyentuh tentang perlumbaan di Jepun, Zaqhwan berkata, “Perlumbaan pertama saya dengan jentera 1000cc bukanlah mudah tambahan pula berdepan dengan ramai pelumba handalan Jepun yang berpengalaman di peringkat antarabangsa.

"Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan pencapaian yang diraih dan akan bekerja keras untuk mencatat keputusan lebih baik.” tambahnya.