STATUS Ketua Jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail mencetuskan tanda tanya apabila dia sebenarnya diarahkan berehat dan bukannya bercuti selama seminggu sebagaimana disahkan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), kelmarin.  

Sumber dalaman Kafa mendedahkan, pengendali The Red Warriors itu tidak pernah memohon cuti, sebaliknya dia direhatkan oleh pengurusan tertinggi badan induk tersebut.

Pendedahan itu sekali gus menimbulkan persoalan setelah Presiden Kafa, Bibi Ramjani Ilias Khan kelmarin, mengumumkan Zahasmi mengambil cuti selama seminggu dan tempatnya dipangku penolong jurulatih, Sathit Bensoh.

“Dalam bola sepak, tak ada istilah direhatkan atau berehat. Biasanya, apabila seseorang (jurulatih) itu direhatkan, berkemungkinan besar dia akan disingkirkan daripada pasukan.  

“Jika anda fikir secara rasional, macam mana tiba-tiba Zahasmi mengambil cuti panjang sedangkan hanya tinggal satu lagi perlawanan menentang Melaka United, hujung bulan ini. Pasti ada sesuatu yang tak kena,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.  

Kata sumber itu lagi, ‘kuasa’ pemain ternyata lebih besar berbanding kepentingan pasukan apabila mereka berjaya mempengaruhi segelintir ahli eksekutif Kafa untuk memberi tekanan kepada Bibi Ramjani membuat keputusan tersebut.

“Kalau anda masih ingat pada musim 2015, George Boateng (jurulatih dari Belanda) pernah disingkirkan oleh Kelantan menerusi kuasa pemain dan sekarang ia berlaku ke atas jurulatih tempatan pula.

“Macam mana jurulatih luar hendak datang ke sini (Kota Bharu) buat kerja, kerana kuasa mereka (pemain) boleh buang jurulatih bila-bila masa. Saya percaya presiden (Bibi Ramjani) tertekan dan tersepit dalam kemelut ini,” katanya.  

Menurutnya, dia tidak menolak kemungkinan keputusan merehatkan pengendali berusia 50 tahun itu berkait rapat dengan spekulasi negatif cubaan mensabotaj skuad pantai timur itu jatuh ke Liga Perdana musim depan.

“Kalau anda hendak kata tindakan merehatkan Zahasmi dibuat kerana pasukan ini bermasalah dan kemerosotan prestasi, benda ini tak logik kerana kita sudah hampir ke hujung musim dan semua orang tahu Kelantan sedang bergelut untuk kekal dalam Liga Super.

“(Tetapi) anda tidak boleh ketepikan cakap-cakap liar bahawa tindakan Zahasmi mengemukakan senarai pemain yang akan dikekalkan pada musim depan itulah mungkin menjadi sebab utama mengapa konflik ini berlaku,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KEPUTUSAN pengendali Kelantan, Zahasmi Ismail menyambung cuti sedikit pun tidak menggusarkan pasukan itu untuk menghadapi Melaka United pada aksi terakhir Liga Super, pada 28 Oktober ini.
  • ZAHASMI Ismail jelas kecewa apabila Kelantan gagal melaksanakan misi wajib menang setelah sekadar terikat seri tanpa jaringan dengan PKNS FC pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam kelmarin.
  • TIADA kata dapat diluahkan Ketua Jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail selepas pasukan kendaliannya tewas 3-0 kepada juara Liga Super 2017, Johor Darul Ta'zim (JDT) di gelanggang lawan, malam tadi.
  • JURULATIH Kelantan, Zahasmi Ismail menerima penyingkiran pasukannya dalam kempen Piala Malaysia musim ini dengan hati terbuka selepas tewas 0-2 kepada Kedah pada aksi terakhir peringkat kumpulan di Alor Setar, malam kelmarin, lapor MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD.