Yunus_Alif
$entry.content.caption.value

KUALA TERENGGANU – Pengendali T-Team, Yunus Alif mengakui gusar dengan barisan pemainnya yang dihimpit masalah kecederaan, apatah lagi dengan misi untuk kembali bangkit dalam pertemuan menentang Felda United FC di Melaka, Selasa ini.

Menurut Yunus lagi, dalam keadaan pasukannya yang agak tertekan untuk terus mencari mata bagi menduduki tangga yang lebih selesa dalam Liga Super musim ini, masalah kecederaan pula membelenggu pemain.

“Dalam tangan saya hanya ada 19 pemain untuk, di mana Fadzli Saari juga mengalami kecederaan di buku lali dan hanya senarai ini yang kita ada bagi mengharungi perlawanan akan datang (bertemu Felda United) dan kita akan tengok macam mana keadaan mereka dalam sehari dua ini.

“Bagaimanapun, inilah (pemain cedera) antara masalah-masalah yang terpaksa kita lalui sepanjang mengharungi saingan Liga Super musim ini," katanya.

Katanya lagi, kemenangan yang direkodkan ke atas Perak malam semalam diharap mampu membakar kembali semangat pemain untuk segera bangkit dalam perlawanan seterusnya nanti.

Yunus turut menyeru barisan anak buahnya untuk segera bangkit bagi menebus kekecewaan selepas tiga kali berturut-turut ditumpaskan lawan masing-masing.

“Saya akui kekalahan tiga kali berturut-turut dalam perlawanan lepas banyak mempengaruhi emosi pemain, namun dengan kemenangan ke atas Perak malam tadi diyakini mampu membangkitkan kembali semangat mereka,” katanya.

Dalama aksi perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini semalam, T-Team mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Perak.

Kedua-dua gol itu masing-masing hasil sumbangan Bojan Petric (56) dan Zairo Anuar Zailani (88).

Ketika diminta mengulas berhubung ujian pemilihan ke atas pemain import, Yunus nyata agak ‘tawar hati’ untuk meneruskan usaha itu berikutan kebanyakan yang datang gagal memenuhi kriteria selaku pemain profesional seperti mana yang dikehendaki.

“Bagaimana kita hendak ambil (pemain import) kalau mereka sendiri pun bermain tidak bagus, sudah puas saya fikir kerana kebanyakan yang datang tidak berkualiti.

“Buat apa kita berbelanja besar untuk mengambil pemain import jika mereka tidak dapat bermain seperti mana yang kita harapkan, tengoklah macam mane dulu. Kalau tidak kita tumpukan pada pemain tempatan,” katanya.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.