KETEGASAN dalam menyemai rasa cinta terhadap sukan bola sepak merupakan antara rahsia utama yang digunakan bekas pengendali skuad bola sepak kebangsaan Karl Heinze-Weigang sewaktu merencanakan agendanya sebagai seorang jurulatih.

Kini kelibat individu yang bertanggungjawab ke atas kejayaan skuad bola sepak negara layak ke Sukan Olimpik 1980 di Moscow itu tidak akan kelihatan lagi dalam arena bola sepak negara kerana beliau telah meninggal dunia di negara kelahirannya Jerman akibat serangan jantung semalam.

Pemergian Weigang, 82, sedikit sebanyak pasti dirasai peminat bola sepak Malaysia yang beliau pernah menabur bakti sekitar tahun 1979-1982.

"Dia adalah seorang jurulatih yang tegas tetapi kami sebagai pemain sewaktu itu tidak pernah membantah arahannya sebab percaya apa yang dia suruh akan menghasilkan sesuatu yang baik kepada pasukan.

"Segala arahan yang diberikannya sangat jelas dan ternyata beliau tahu apa yang beliau inginkan selain mempunyai azam yang tinggi untuk melihat pasukan bimbingannya menjadi sebuah pasukan yang berjaya," kata legenda bola sepak negara era 80-an, Khalid Ali.

Khalid menyifatkan Weigang sebagai seorang jurulatih terbaik yang pernah membimbing skuad bola sepak negara.

"Saya amat menghormati beliau dan secara peribadi bagi saya, beliau adalah seorang jurulatih terbaik pasukan bola sepak yang negara pernah ada. Pemergian dia adalah satu berita yang sangat menyedihkan," tambahnya.

Selepas tiga tahun menyumbang jasa kepada Harimau Malaya, beliau meneruskan minat terhadap tugas kejurulatihannya di beberapa buah negara Afrika selama 12 tahun sebelum dipancing skuad bola sepak Vietnam dan menghabiskan masa selama tiga tahun di sana.

Pada tahun 1997, Weigang kembali ke Malaysia apabila khidmatnya ditagih pasukan  Perak yang melantiknya sebagai ketua jurulatih dan kehebatannya terbukti apabila berjaya membawa skuad 'The Bos Gaurus' menjuarai Piala Malaysia pada tahun 1998 dan 2000.

Sebagai menghargai sumbangan dan jasa beliau terhadap terhadap pembangunan bola sepak dunia, Weigang dianugerahkan dengan Anugerah Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) Order of Merit pada tahun 1998.

Bagi seorang pemain skuad Olimpik Moscow, Bakri Ibni, walaupun sering bersikap tegas, namun Weigang tetap menunjukkan rasa tanggungjawab terhadap anak buahnya.

"Satu berita yang sangat menyedihkan bagi arena bola sepak negara kerana beliau merupakan seorang jurulatih yang berpengalaman. Walaupun sering bersikap tegas tetapi beliau masih lagi disenangi para pemain dan tujuannya bersikap begitu hanya kerana demi kebaikkan kami," ujar beliau.

Di penghujung hayatnya, Weigang sekali lagi diberi kepercayaan membimbing pasukan Perak selaku ketua jurulatih dan ketua pengarah teknikal Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), namun menamatkan kontraknya pada Februari tahun ini susulan prestasi tidak menentu skuad Perak. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.